Ubat gigi yang mengandungi triklosan/kopolimer untuk kesihatan oral

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini dibuat untuk menilai kesan penggunaan ubat gigi yang mengandungi triklosan (bahan antibakteria) bersama kopolimer (bahan untuk mengurangkan amaun triklosan yang hilang semasa berkumur atau air liur) dengan tambahan fluorida (mineral yang mencegah pereputan gigi) berbanding dengan penggunaan ubat gigi berfluorida (tanpa triklosan/kopolimer) untuk kesihatan oral.

Latar belakang

Penyakit gusi dan pereputan gigi merupakan sebab utama kehilangan gigi. Jika tidak dibersihkan, plak (lapisan melekit yang mengadungi bakteria) boleh mengumpul pada gigi. Ini boleh menyebabkan gingivitis (gusi bengkak dan berdarah yang mempengaruhi kebanyakan orang dewasa), yang mana jika tidak dirawat boleh menyebabkan penyakit gusi yang lebih serius yang dipanggil periodontitis (yang menpengaruhi satu dari setiap lima orang dewasa berumur 35 hingga 44 tahun di serata dunia). Periodontitis boleh menyebabkan sakit, kesukaran untuk makan, penampilan muka yang kurang menyenangkan dan akhirnya kehilangan gigi. Pengumpulan plak juga membawa kepada pereputan gigi, satu masalah yang mempengaruhi 90% kanak-kanak sekolah di negara industri dan majoriti orang dewasa. Di serata dunia, banyak sumber penjagaan kesihatan diguna untuk merawat penyakit gusi dan kerosakan gigi, yang mana kedua-duanya boleh dicegah. Terkini, banyak kajian sedang berlangsung untuk mencari hubungkait di antara peyakit peridontium dengan keadaan perubatan lain seperti diabetes, artritis rheumatoid, sakit jantung dan kelahiran pramatang (terlalu awal) bayi yang kurang berat.

Penambahan bahan antibakteria yang berkesan dan selamat kepada ubat gigi boleh menjadi jawapan mudah dan rendah kos untuk permasalahan ini. Triklosan dipercayai dapat melawan bakteria berbahaya dalam plak sambil mengurangkan bengkak yang boleh menyebabkan penyakit gusi. Adalah penting untuk memastikan penambahan triklosan ke dalam ubat gigi berfluorida tidak mengurangkan kesan manfaat fluorida bagi mencegah kerosakan gigi.

Ciri-ciri Kajian

Penulis Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan kajian sedia ada dan bukti terkini sehingga 19 Ogos 2013. Ia melibatkan 30 kajian yang diterbitkan dari 1990 hingga 2012 yang mana 14, 835 peserta dipilih secara rawak untuk menerima ubat gigi berfluorida yang mengandungi triklosan/polimer atau ubat gigi berfluorida tanpa triklosan/polimer. Kebanyakan ubat gigi yang diguna dalam kajian-kajian tersebut dijual oleh pengilang Colgate.

Keputusan-keputusan utama

Bukti yang dihasilkan menunjukkan manfaat penggunaan ubat gigi berfluorida yang mengandungi triklosan/kopolimer berbanding ubat gigi berfluorida (tanpa triklosan/kopolimer). Terdapat 22% pengurangan plak, 22% pengurangan gingivitis, 48% pengurangangusi berdarah dan 5% pengurangan kerosakan gigi. Tiada cukup bukti untuk menunjukkan perbezaan kedua-dua ubat gigi bagi mencegah periodontitis. Tiada bukti kesan buruk yang dikaitkan dengan ubat gigi triklosan/kopolimer dalam kajian-kajian tersebut sehingga tiga tahun.

Kualiti bukti kajian

Bukti mengenai plak dan gingivitis adalah berkualiti sederhana. Bukti tentang kerosakan gigi adalah berkualiti tinggi dan bukti berkenaan periodontitis adalah berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information