Pembentukan semula salur darah (revascularisation) endovaskular untuk klaudikasi intermiten (sakit pada betis)

Latar Belakang

Klaudikasi intermiten yang menjejaskan kira-kira 4.5% daripada populasi umum berumur 40 tahun ke atas, adalah satu bentuk gejala penyakit arteri periferi yang biasa dan dicirikan oleh kesakitan pada labu betis atau punggung betis yang bermula dengan berjalan dan lega dengan rehat. Kesakitan betis ini disebabkan oleh pengurangan aliran darah ke otot betis akibat hadangan pada arterii betis akibat daripada aterosklerosis (pengerasan dan pembentukan plak di arteri). Orang dengani klaudikasi intermiten mengalami jarak berjalan kaki yang sangat terhad, mengakibatkan gaya hidup yang tidak aktif dan kualiti hidup yang menurun.

Pembentukan semula salur darah endovaskular periferal (angioplasti) adalah prosedur invasif minima yang dilakukan untuk membersihkan hadangan pada arteri betis yang menyebabkan aliran darah menurun. Prosedur ini digunakan secara meluas untuk orang dengan klaudikasi intermiten. Dalam ulasan ini pengulas mencari tulisan sedia ada (terkini sehingga Februari 2017) untuk menilai keberkesanan pembentukan semula salur darah endovaskular berbanding dengan tanpa terapi tertentu untuk klaudikasi intermiten, atau berbanding dengan pilihan terapi konservatif seperti senaman terselia atau terapi ubat-ubatan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Carian pengulas mengenal pasti sepuluh kajian dengan sejumlah 1087 peserta. Pengulas menilai kualiti metodologi keseluruhan kajian-kajian ini sebagai sederhana.

Data dari tiga kajian yang membandingkan pembentukan semula salur darah endovaskular tanpa rawatan tertentu untuk klaudikasi intermiten kecuali nasihat untuk senaman menunjukkan kesan yang sederhana hingga besar pada jarak berjalan yang memihak kepada pembentukan semula salur darah endovaskular dalam jangka pendek. Walau bagaimanapun selepas susulan jangka panjang dalam dua kajian, kelebihan jangka pendek pembentukan semula salur darah endovaskular ini telah tidak didapati lagi. Bilangan prosedur pembedahan tambahan tidak berbeza antara kumpulan. Satu kajian melaporkan tiada perbezaan dalam kualiti kehidupan khusus kepada penyakit selepas dua tahun.

Data dari lima kajian yang membandingkan pembentukan semula salur darah endovaskular dengan senaman terselia untuk klaudikasi intermiten menunjukkan kedua-dua terapi adalah lebihkurang sebanding dari segi pertambahan jarak berjalan kaki, bilangan prosedur pembedahan tambahan, dan kualiti hidup.

Data dari tiga kajian yang membandingkan terapi kombinasi pembentukan semula salur darah endovaskular disertai senaman terselia berbanding dengan senaman terselia sahaja tidak menunjukkan perbezaan yang jelas di antara kumpulan untuk jarak berjalan dalam jangka pendek, dan data dari satu kajian menunjukkan kesan besar pada jarak berjalan yang memihak kepada terapi kombinasi dalam jangka masa yang panjang. Kualiti kehidupan khusus kepada penyakit adalah setanding di antara kumpulan kajian. Bilangan prosedur pembedahan tambahan adalah lebih rendah selepas terapi gabungan.

Akhirnya, apabila membandingkan terapi kombinasi pembentukan semula salur darah endovaskular disertai dengan terapi ubat cilostazol dengan terapi ubat sahaja, dua kajian menyediakan data yang menunjukkan kesan kecil ke sederhana dalam jarak berjalan kaki dan kualiti hidup yang memihak kepada terapi gabungan. Bilangan prosedur pembedahan tambahan adalah setanding di antara kumpulan kajian.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, pengulas menilai kualiti bukti untuk hasil dalam perbandingan pembentukan semula salur darah endovaskular berbanding dengan tanpa terapi khusus untuk klaudikasi intermiten sebagai rendah hingga sederhana terutamanya kerana saiz sampel kajian yang kecil dan kemungkinan risiko bias yang serius dalam kajian-kajian ini. Untuk perbandingan pembentukan semula salur darah endovaskular berbanding terapi konservatif, dan terapi kombinasi pembentukan semula salur darah endovaskular dan terapi konservatif berbanding dengan terapi konservatif sahaja, pengulas umumnya menilai kualiti bukti untuk hasil sebagai sederhana hingga tinggi terutamanya disebabkan oleh perbezaan yang nyata antara kajian.

Kesimpulan

Ulasan ini menilai keputusan yang dilaporkan oleh beberapa kajian yang menunjukkan bahawa pembentukan semula salur darah endovaskular dan senaman terselia adalah pilihan rawatan yang lebih kurang setanding dalam meningkatkan jarak berjalan dan kualiti hidup di kalangan individu dengan klaudikasi intermiten. Terapi gabungan (pembentukan semula salur darah endovaskular dengan senaman yang terselia atau terapi ubat [cilostazol]) seolah-olah menghasilkan peningkatan dalam jarak berjalan kaki dan kualiti hidup daripada yang dilihat dengan senaman terselia atau terapi ubat sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Serdang Hospital). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com. .

Tools
Information