Ubat herba Cina untuk nodul tiroid benigna dalam kalangan dewasa

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan-kesan ubat herba Cina dalam rawatan nodul tiroid benigna dalam kalagan dewasa.

Latar belakang

Nodul tiroid adalah kebengkakan di dalam kelenjar tiroid dan ia merupakan masalah klinikal yang lazimnya dikesan dalam 20% hingga 70% orang. Nodul tiroid boleh menyebabkan gejala tekanan dan aduan kosmetik. Rawatan untuk nodul tiroid benigna termasuk lah terapi hormon tiroid, pembedahan, rawatan radioiodin, terapi suntikan etanol perkutaneus dan rawatan laser atau radiofrekuensi untuk mengecutkan nodul. Ubat herba Cina lazim diguna sebagai alternatif kepada rawatan ubat.

Ciri-ciri kajian

Kami hanya dapat mengenal pasti satu kajian rawak terkawal yang melibatkan 152 peserta dengan nodul tiroid benigna. Kumpulan intervensi (98 peserta) dirawat dengan kombinasi dua ubat herba Cina, dan tiada rawatan diberi kepada kumpulan kawalan (54 peserta). Tempoh rawatan adalah tiga bulan, dan tempoh keseluruhan susulan adalah enam bulan.

Keputusan utama

Kajian yang disertakan tidak menyiasat pengurangan isipadu nodul ≥ 50%; gejala tekanan, aduan kosmetik atau kedua-duanya; kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan; moirtalit semua punca; kejadian kanser; perubahan bilangan dan saiz nodul tiroid; perubahan dalam isipadu tiroid; atau kesan sosioekonomi. Paras hormon tiroid adalah normal dalam kedua-dua kumpulan sebelum dan selepas kajian dilaksanakan. Tiada kesan buruk dilaporkan

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan kajian yang disertakan adalah tidak jelas atau rendah.

Data semasa

Bukti adalah terkini sehingga April 2013.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information