Soalan ulasan: Adakah julap gliserin (enema/supositori) selamat dan berkesan untuk pencegahan atau rawatan intoleransi penyusuan di kalangan bayi dengan berat lahir sangat rendah?
Latar belakang: Bayi pramatang lebih berisiko untuk mengalami intoleransi penyusuan. Faktor-faktor yang menyumbang kepada intoleransi penyusuan adalah banyak dan ini termasuk pergerakan usus yang tidak matang dan peningkatan kelikatan mekonium. Penambahbaikan laluan najis pertama (mekonium) mungkin meningkatkan kebolehan bayi pramatang untuk menerima penyusuan dan mungkin membantu mengurangkan masa yang digunakan untuk menerima cecair intravena.
Ciri-ciri kajian: Ulasan kami mengenalpasti tiga kajian yang menyelidik penggunaan supositori gliserin untuk mencegah intoleransi penyusuan di kalangan bayi pramatang.
Penemuan utama: Kami mendapati bahawa enema gliserin yang diberikan kepada bayi pramatang sebagai profilaksis tidak memendekkan masa untuk penyusuan penuh, dan juga tidak mengurangkan masa untuk discaj. Walau bagaimanapun, data yang ada terlalu terhad untuk membenarkan kesimpulan yang kukuh.
Kesimpulan: Ulasan kami terhadap bukti yang ada untuk julap gliserin tidak menyokong penggunaan rutin julap gliserin sebagai profilaksis dalam amalan klinikal. Kajian tambahan diperlukan untuk mengesahkan atau menafikan keberkesanan dan keselamatan julap gliserin untuk pencegahan atau rawatan intoleransi penyusuan di kalangan bayi dengan berat lahir sangat rendah.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK)