Terapi senaman untuk remaja dan orang dewasa yang mengalami sakit di belakang atau di sekitar lutut (sakit patellofemoral)

Pengenalan

Sindrom sakit patellofemoral (PFPS) adalah masalah lutut yang biasa, yang terutamanya mempengaruhi remaja dan orang dewasa yang muda. PFPS dicirikan sebagai sakit retropatellar (di belakang lutut) atau peripatellar (di sekitar lutut). Ia sering dirujuk sebagai sakit lutut depan. Kesakitan kebanyakannya berlaku apabila beban diletakkan pada otot yang memanjangkan kaki ketika memanjat tangga, berjongkok, berlari, berbasikal atau duduk dengan lutut bengkok. Terapi senaman sering dipreskripsi untuk keadaan ini.

Keputusanl carian kami dan penerangan kajian

Kami telah mencari literatur perubatan sehingga Mei 2014 dan menemui 31 kajian yang berkaitan yang melibatkan 1690 peserta dengan sakit patellofemoral. Terdapat banyak perbezaan dalam ciri-ciri populasi kajian mereka (misalnya tahap aktiviti dan tempoh simptom) dan jenis senaman. Kami menilai kebanyakan kajian sebagai berisiko tinggi berat sebelah kerana orang, selalunya peserta kajian, yang menilai hasil mengetahui kumpulan rawatan mereka.

Kajian yang disertakan, di antaranya menyumbang kepada lebih daripada satu perbandingan, memberikan bukti untuk perbandingan berikut: terapi senaman berbanding kawalan (10 kajian); terapi senaman berbanding intervensi konservatif (misalnya menggunakan pita pelekat di atas lutut; lapan kajian menilai intervensi yang berbeza); dan latihan atau program senaman yang berbeza. Kumpulan terakhir terdiri daripada: senaman diselia berbanding senaman di rumah (dua ujian); senaman kaki tetap (rantai kinetik tertutup) berbanding kaki bebas (rantai kinetik terbuka) (empat kajian); varian latihan rantai kinetik tertutup (dua kajian membuat perbandingan berbeza; perbandingan yang lain jenis rantai kinetik atau senaman lain (lima kajian menilai intervensi yang berbeza); senaman pinggul dan lutut berbanding lutut (dua kajian); dan senaman intensiti tinggi berbanding intensiti rendah (satu kajian). Tidak ada kajian menguji medium senaman (tanah berbanding air) atau tempoh senaman.

Kualiti bukti

Bukti, jika ada tersedia untuk setiap tujuh hasil utama untuk semua perbandingan adalah berkualiti sangat rendah. Ini bermakna kita tidak pasti tentang kebolehpercayaan hasil ini.

Keputusan dua perbandingan terbesar

Bukti perbandingan terapi senaman berbanding kawalan (misalnya tiada rawatan) menunjukkan bahawa terapi senaman mungkin boleh mengurangkan kesakitan klinikal yang penting semasa aktiviti dan sakit biasa dalam jangka pendek (tiga bulan atau kurang) dan dalam jangka panjang (lebih dari tiga bulan). Ulasan ini juga mendapati bukti bahawa terapi senaman dapat memberikan peningkatan penting secara klinikal dalam kemampuan berfungsi dalam jangka pendek dan panjang, serta menyebabkan jumlah yang lebih besar melaporkan pemulihan dari simptom mereka dalam jangka panjang.

Ulasan ini mendapati bukti bahawa senaman pinggul dan lutut dapat memberikan pengurangan sakit yang penting secara klinikal semasa aktiviti dan sakit biasa dalam jangka pendek dan sakit semasa aktiviti dalam jangka panjang, jika dibandingkan dengan senaman lutut sahaja. Terdapat bukti yang tidak dapat disimpulkan untuk mengatakan sama ada kemampuan berfungsi atau pemulihan lebih baik dalam kedua-dua kumpulan.

Kesimpulan

Ulasan ini telah menemui bukti kualiti rendah tetapi konsisten bahawa terapi senaman untuk PFPS boleh mengakibatkan pengurangan sakit yang penting secara klinikal dan peningkatan kemampuan berfungsi, serta meningkatkan pemulihan jangka panjang. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengatakan apakah bentuk terapi senaman terbaik atau jika keputusan ini boleh dipakai kepada semua orang dengan sakit patellofemoral. Terdapat beberapa bukti berkualiti rendah bahawa senaman pinggul dan lutut lebih berkesan untuk mengurangkan sakit daripada senaman lutut sahaja.

Sebelum kajian lanjut dilakukan, penyelidikan diperlukan untuk mengenal pasti soalan keutamaan dan mencapai muafakat yang lebih baik mengenai kriteria diagnostik dan pengukuran hasil.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. DIsunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University)

Tools
Information