Rawatan utama kanser paru-paru yang teruk bukan sel kecil yang dikenal pasti mutasi positif EGFR

Latar belakang

Kanser paru-paru adalah kanser yang paling lazim di dunia. Memandangkan ia menunjukkan sedikit simptom, ia sering telah merebak apabila dikesan. Oleh itu, pembedahan adalah tidak mungkin, dan rawatan ubat, biasanya kemoterapi, diperlukan.

Jenis kanser paru-paru yang paling lazim adalah kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC). Sekitar 10% hingga 15% orang dengan NSCLC akan mempunyai sejenis kanser yang dikenali sebagai reseptor faktor pertumbuhan epidermis positif (EGFR M+) di mana terdapat perubahan khusus sel kanser dalam gen yang mengawal pertumbuhan tumor wujud dalam sel-sel kanser. Di dalam ulasan ini, kami melihat kepada rawatan baharu yang boleh menyasarkan NSCLC EGFR M+ untuk mengetahui sebaik mana rawatan tersebut berkesan.

Objektif

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada orang yang diberi rawatan yang menyasarkan NSCLC EGFR M+ hidup lebih lama dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding mereka yang diberi kemoterapi piawai.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 19 kajian yang melihat empat ubat berbeza yang menyasarkan EGFR: erlotinib, gefitinib, afatinib, dan antibodi cetuximab. Kami memasukkan kajian yang melaporkan keputusan sehingga Jun 2015.

Keputusan

Keputusan kami menunjukkan orang yang diberi erlotinib, gefitinib, atau afatinib mempunyai masa yang lebih lama sebelum kanser berkembang dan mengalami kurang kesan sampingan berbanding mereka yang diberi kemoterapi piawai, lazimnya cisplatin ditambah dengan satu ubat lain. Walau bagaimanapun, orang yang diberi erlotinib, gefitinib, atau afatinib tidak hidup lebih lama berbanding mereka yang menerima kemoterapi piawai. Rawatan dengan cetuximab dengan gabungan kemoterapi tidak melambatkan penyebaran kanser paru-paru dan tidak memanjangkan hayat berbanding kemoterapi sahaja.

Kesimpulan

Erlotinib, gefitinib, dan afatinib melambatkan penyebaran kanser paru-paru EGFR M+ dan meningkatkan kualiti hidup, tetapi tidak memanjangkan hayat. Memberi cetuximab bersama dengan kemoterapi tidaklah lebih baik untuk mengawal kanser jenis ini ataupun memanjangkan hayat berbanding kemoterapi sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information
Share/Save