Latar Belakang Atas pelbagai sebab, sebilangan kanak-kanak hidup dengan masalah intelektual dan fizikal yang sangat berat; mereka tidak dapat berjalan atau bercakap dan memerlukan penjagaan yang rapi di rumah. Dalam kajian ini kami menyebut mereka sebagai kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan global (SGDD) yang berat; ini bukan diagnosis khusus tetapi lebih merupakan 'istilah umum' yang digunakan untuk menggambarkan sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai masalah serupa. Kanak-kanak ini mungkin mempunyai otot yang lemah atau kaku dan kecacatan pada tulang mereka; mereka lazimnya menghadapi masalah menelan, mengakibatkan makanan atau air liur termasuk ke dalam paru-paru. Selalunya mereka mempunyai refleks batuk yang lemah dan tidak memiliki kekuatan yang diperlukan untuk mengeluarkan lendir ketika mereka batuk. Semasa kita tidur, pernafasan kita menjadi lebih singkat; bagi sesetengah kanak-kanak dengan SGDD yang pernafasannya sudah singkat ketika jaga, ini bermaksud bahawa mereka tidak bernafas dengan cukup dalam untuk mengambil cukup oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida yang mencukupi ketika tidur. Akibat daripada masalah ini ialah sistem pernafasan mereka menjadi lemah; mereka cenderung menghidap jangkitan paru-paru, dan jangkitan yang sedikit dapat menjadikan mereka menjadi sangat tidak sihat. Ini boleh mengakibatkan mereka menghabiskan banyak masa di hospital. Perkara ini mempengaruhi kualiti hidup kanak-kanak dan keluarga mereka dan ianya sangat mahal. Banyak jenis rawatan dapat membantu, tetapi tidak ada ringkasan kajian yang baik untuk memberitahu pakar kesihatan rawatan apa yang terbaik dan bila ianya harus digunakan; ini adalah sebab tinjauan ini dilakukan.
Soalan tinjauan Tujuan tinjauan kami adalah untuk mengetahui keberkesaan setiap jenis rawatan untuk mengatasi masalah pernafasan pada kanak-kanak dengan kelewatan perkembangan global yang berat. Oleh kerana terdapat banyak rawatan tersedia, kami memutuskan untuk melihat rawatan yang tidak melibatkan ubat-ubatan sahaja.
Ciri-ciri kajian Kami melakukan pencarian pangkalan data yang luas untuk mencari kajian intervensi untuk pengurusan masalah pernafasan pada kanak-kanak dengan gangguan neurologi yang serius. Kami menemui 15 kajian, yang merangkumi jenis-jenis rawatan yang berbeza.
Hasil utama Hasil kajian menunjukkan bahawa beberapa rawatan yang berbeza mempunyai potensi yang berfaedah, dan untuk kebanyakan intervensi tidak ada kesan buruk yang serius. Walau bagaimanapun, kualiti kajian tidak cukup baik untuk mendorong keyakinan terhadap penemuan tersebut. Peralatan bagi posisi waktu malam dan pendakap tulang belakang terbukti berpotensi memberi kesan negatif pada beberapa peserta. Walaupun beberapa kajian mengkaji jenis rawatan yang sama, tetapi dengan cara penggunaan yang berbeza atau menggunakan langkah yang berbeza untuk menilai keberkesanan, jadi kami tidak dapat mengumpulkan hasilnya dalam kumpulan yang sama.
Kualiti bukti Dari 15 kajian yang disertakan di sini, hanya empat yang menggunakan reka bentuk kajian 'rujukan standard ' untuk intervensi kesihatan. Selebihnya kajian menggunakan reka bentuk kajian yang kurang mantap, yang membatasi kekuatan hasilnya. Kajian rawak yang dirancang dengan lebih baik termasuk lebih banyak peserta diperlukan untuk membimbing pakar kesihatan untuk memilih rawatan yang paling berkesan.
Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga November 2013. Kami mengemas kini carian pada bulan November 2019 dan Julai 2020 dan menambahkan enam kajian untuk menunggu pengkelasan, tetapi hasil ini belum dimasukkan sepenuhnya ke dalam tinjauan.
Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my