Ubat-ubatan (kecuali toksin botulinum) untuk merawat kespastikan selepas strok.

Soalan

Adakah ubat-ubatan (kecuali toksin botulinum) lebih baik daripada plasebo untuk merawat kespastikan dalam kalangan orang yang mengalami strok?

Latarbelakang

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat bukti penggunaan ubat-ubatan untuk kespastikan dalam kalangan orang yang mengalami strok dan, jika ada, untuk mengenalpasti sama ada ubat-ubatan yang bertindak ke atas seluruh badan (ubat sistemik) berbeza dari segi kesan ubat yang bertindak di sesuatu kawasan tubuh (ubat-ubatan setempat).

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian yang melibatkan 403 peserta. Bukti adalah terkini sehinggi Mei 2016. Terdapat perbezaan di antara kajian-kajian yang dimasukkan. Dua kajian adalah terkawal plasebo manakala yang lain membandingkan satu jenis ubat dengan ubat yang lain. Dua kajian membandingkan dua jenis ubat sistemik, dua lagi membandingkan dua ubat setempat, dan kajian kelima membandingkan ubat sistemik dengan ubat setempat.

Keputusan utama

Keputusan kajian-kajian adalah berbeza, oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang jelas. Kedua-dua kajian yang mengunakan plasebo sebagai kawalan menunjukkan keputusan yang bercanggah; namun apabila keputusan digabungkan, kami mendapati sedikit manfaat yang memihak kepada kumpulan yang menerima rawatan. Kedua-dua kajian ini menunjukkan bukti bahawa pengambilan ubat rawatan mungkin boleh meningkatkan risiko mendapat kesan buruk. Ulasan ini menunjukkan kurangnya kajian-kajian dan bukti lanjutan berkaitan dengan penggunaan intervensi farmakologi (kecuali toksin botulinum) untuk rawatan kespastikan. Penyelidikan masa depan untuk mengenalpasti masa yang paling baik untuk memulakan rawatan serta dos optimum untuk rawatan disyorkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah berbeza-beza. Kami mengadili bahawa kesemua kajian kecuali satu mempunyai risiko bias tinggi dalam sekurang-kurangnya satu daripada enam aspek yang dipertimbangkan. Saiz sampel bagi kajian-kajian yang dimasukkan adalah agak kecil untuk kajian klinikal ubatan; tiga daripada tujuh kajian mempunyai 30 atau kurang peserta.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi shgan@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information
Share/Save