Kekunci antibiotik untuk mencegah jangkitan kateter pada bayi

Latarbelakang

Bayi-bayi di unit rawatan rapi neonatal memerlukan ubat-ubatan dan cecair melalui vena mereka. Untuk melakukan ini, satu tiub kecil (dikenali sebagai kateter vena pusat, CVC) dimasukkan ke dalam vena bayi melalui korda umbilikal atau melalui kulit. Tiub ini diletakkan di luar jantung. Tiub ini kemudiannya digunakan untuk memberi ubat-ubatan dan cecair tanpa menyebabkan sebarang ketidak-selesaan. Walau bagaimanapun, tiub ini membawa kepada peningkatan risiko jangkitan, yang boleh mengancam nyawa. Terdapat banyak langkah-langkah cubaan untuk mengelakkan jangkitan, tetapi ia tetap berlaku. Ulasan ini mengkaji satu cara untuk mencegah jangkitan ini dengan memasukkan cecair antibiotik ke dalam tiub dan meninggalkannya untuk tempoh tertentu (dipanggil kekunci antibiotik) berbanding dengan cecair yang tidak mengandungi antibiotik.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan tiga kajian dengan seramai 271 bayi dalam kajian semula ini.

Keputusan utama

Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa bayi yang memiliki tiub mengandubgi cecair antibiotik kurang berkemungkinan untuk mendapat jangkitan. Salah satu kesan sampingan rawatan adalah terdapat kuman yang dikenali sebagai `super bugs'. 'Super bugs' menyebabkan sejenis jangkitan yang mungkin susah dirawati dengan sesetengah antibiotik. Kajian kami tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa kekunci antibiotik berkemungkinan menghasilkan 'super bugs' berbanding tanpa kekunci antibiotik, tetapi untuk meyakinkan lagi, kajian-kajian lebih besar adalah diperlukan. Kadar kematian jangkitan akibat tiub tidak berkurangan dengan kekunci antibiotik.

Kualiti bukti:

Bilangan bayi-bayi yang terlibat dalam tiga kajian ini agak kurang. Dua daripada tiga kajian mempunyai risiko keseluruhan berat sebelah yang rendah, manakala kajian yang satu lagi mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi dari dua sumber: i). Pemilihan berat sebelah, iaitu cara pengagihan kumpulan yang telah berlaku (berdasarkan penempatan bilik bayi yang dirawat) merupakan isu utama sama ada pengagihan itu adalah benar-benar secara rawak, dan ii). Performa berat sebelah, iaitu tanpa pembutaan orang-orang yang terlibat dalam penjagaan bayi mungkin telah menyumbang kepada penjagaan berbeza dan/atau jangkaan yang mungkin boleh menjejaskan keputusan.

Rumusan

Berdasarkan bilangan kajian-kajian dan bayi-bayi yang kecil, kekunci cecair antibiotik nampaknya berkesan dalam mencegah jangkitan darah yang berkaitan-kateter pada bayi. Walau bagaimanapun, setiap kajian yang terlibat menggunakan cecair antibiotik yang berbeza dan rintangan antibiotik tidak dapat dinilai dengan tepat serta bukti yang terkini tidak mencukupi untuk menentukan kesan-kesan kekunci antibiotik keatas jangkitan pada bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information