Implan orbital bersepadu berbanding tidak bersepadu untuk merawat soket anophthalmic

Apakah tujuan ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada implan orbital bersepadu adalah lebih baik daripada implan orbital tidak bersepadu untuk merawat soket anophthalmic. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati tiga kajian.

Mesej utama
Terdapat ketidakpastian tentang faedah dan kemudaratan implan orbital bersepadu berbanding dengan implan orbital tidak bersepadu.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
'Anophthalmia' ialah ketiadaan mata dalam orbit. Ini boleh berlaku pada zaman kanak-kanak (kerana masalah dengan perkembangan) atau ia boleh berlaku semasa perjalanan hidup (disebabkan oleh kemalangan atau penyakit mata lain).

Doktor boleh meletakkan implan di orbit untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyingkiran mata dan ini bersama-sama dengan prostesis luaran boleh memperbaiki penampilan pesakit. Implan orbit ini boleh dibuat daripada dua jenis bahan - bahan bersepadu atau tidak bersepadu. Jika bahan itu disepadukan, maka saluran darah baru boleh tumbuh menjadi bahan implan. Jika bahan tidak bersepadu maka implan orbital kekal berasingan daripada tisu orbit yang lain.

Penulis ulasan melihat sama ada jenis bahan implan mempengaruhi kejayaan pembedahan atau, dengan kata lain, jika implan bersepadu boleh memberikan hasil yang lebih baik daripada implan tidak bersepadu. Mereka juga berminat dengan sejauh mana prostesis luaran boleh bergerak lebih baik selepas pembedahan - menggunakan implan orbital bersepadu atau tidak bersepadu. Juga, penulis ingin tahu sama ada jenis bahan implan orbit boleh menjejaskan kualiti hidup orang ramai. Adakah terdapat sebarang kesan buruk (bahaya) penggunaan implan orbital bersepadu atau tidak bersepadu?

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Jenis bahan yang digunakan untuk implan orbit mungkin tidak menjejaskan kejayaan pembedahan (bukti kepastian rendah). Penulis ulasan menilai bukti mengenai pergerakan prostesis dan kesan buruk sebagai memberikan sedikit kepastian tentang kesan sebenar. Tiada maklumat tentang kualiti hidup.

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan setakat 8 Ogos 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information