Perubatan tradisional herba Cina untuk demensia vaskular

Latar belakang

Demensia vaskular merupakan sejenis demensia lazim yang disebabkan oleh gangguan bekalan darah ke otak. Sesetengah penghidap demensia vaskular pernah mengalami strok. Tidak ada ubatan Barat yang telah dilesenkan untuk merawat demensia vaskular. Perubatan trandisional herba Cina (TCHM) kerap digunakan untuk merawat penyakit ini di China.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui samada mana-mana TCHMS dapat merawat demensia vaskular dengan berkesan dan samada mereka mempunyai kesan-kesan yang merbahaya. Kami juga ingin mengenalpasti TCHM yang berpotensi untuk diteruskan kajian ke atasnya.

Apa yang telah kami lakukan

Kami telah mencari kajian rawak terkawal (RCT) yang telah mengkaji penggunaan mana-mana TCHM yang tersenarai samada dalam ‘Chinese Pharmacopoeia’ (CP) atau Chinese National Essential Drug List (NEDL) bagi rawatan demensia vaskular. Dalam kajian-kajian ini, peserta-peserta seharusnya telah dibahagikan secara rawak kepada samada kumpulan yang diberi TCHM atau kepada kumpulan perbandingan (kawalan) yang tidak mendapat TCHM; tetapi mungkin juga telah diberikan plasebo (pil tiruan), ubatan Barat atau rawatan perubatan standard untuk mengurangkan risiko strok.

Apa yang kami temui

Kami telah memilih 47 kajian dengan 3581 peserta bagi 18 TCHM dalam ulasan ini. Kesemua kajian dijalankan di tanah besar China antara 1997 dan 2013 dengan bilangan peserta antara 26 hingga 240 orang dan purata tempoh kajian selama 12 minggu. Terdapat masalah yang ketara dengan kaedah dalam kebanyakan kajian, terutamanya dengan bagaimana peserta diagihkan kepada rawatan, bagaimana hasil kajian diukur dan tahap keterperincian kesan-kesan merbahaya dipantau. Atas sebab alasan ini dan juga beberapa sebab yang lain, kami merumuskan kualiti bukti keseluruhannya mempunyai tahap yang berbagai; antara sederhana hingga sangat rendah. Ini bermakna kita tidak pasti, dan selalunya sangat tidak pasti tentang ketepatan hasil kajian-kajian berkenaan.

Walaupun demikian, kami menemui tujuh TCHM yang mana setiap satunya mempunyai potensi manfaat yang besar dalam kajian-kajian yang membandingkan TCHM dengan tiada rawatan atau Perubatan Barat. Tiga daripadanya ialah- Nao XinTong, NaoMaiTai dan TongXinLuo - mempunyai bukti terkuat untuk kajian lebih lanjut. Kami mendapati risiko kesan-kesan merbahaya adalah sekurang-kurangnya 5% lebih tinggi berbanding dengan peserta dalam kumpulan kawalan untuk NaoMaiTai dan TongXinLuo, tetapi kualiti buktinya adalah lemah.

Kesimpulan

Kami berpendapat terdapat justifikasi untuk kajian lebih lanjut bagi sesetengah TCHM untuk demensia vaskular; tetapi adalah sangat penting kualiti kajian yang dijalankan dan juga laporan kajian itu perlu ditambahbaik dengan mematuhi standard amalan terbaik yang telah diterbitkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia) azlanh@usm.my

Tools
Information