Menggunakan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan MRSA (methicillin-resistant Staphylococcus aureus) dan komplikasi yang berkaitan dalam kalangan orang selepas pembedahan

Kebanyakan luka yang dijangkiti bakteria selepas pembedahan telah sembuh secara semulajadi ataupun selepas rawatan dengan antibiotik. Sesetengah bakteria dapat bertahan dengan antibiotik yang biasa digunakan seperti methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA). Jangkitan MRSA selepas pembedahan jarang berlaku, tetapi boleh berlaku di kawasan luka (jangkitan tapak pembedahan, atau SSI), dada, atau aliran darah (bacteraemia), dan boleh mengancam nyawa. MRSA SSIs ditemui dalam 1% hingga 33% orang yang menjalani pembedahan (bergantung kepada jenis operasi) dan hal ini telah memanjangkan tempoh tinggal di hospital.

Antibiotik boleh digunakan secara sendirian, atau digabungkan, dan diberikan dalam tempoh yang berbeza. Untuk mengenal pasti antibiotik yang terbaik, atau corak dos, dalam mencegah jangkitan MRSA selepas pembedahan, kami menyiasat kajian yang membandingkan antibiotik yang berbeza antara satu sama lain, atau tanpa rawatan, dalam pencegahan MRSA SSI. Kami hanya melibatkan kajian secara rawak (RCTs), dan tidak menetapkan had tentang bahasa, atau tarikh, penerbitan, atau saiz percubaan. Dua pengarang ulasan telah mengenal pasti kajian dan mengekstrak data secara berasingan.

Kami mengenalpasti 12 RCT melibatkan 4704 peserta. Sebelas ujian yang membandingkan 16 antibiotik pencegahan (profilaktik), dan satu kajian membandingkan profilaksis antibiotik dengan yang tanpa profilaksis. Umumnya, status MRSA dalam peserta sebelum pembedahan tidak diketahui.

Empat kajian melaporkan kematian (14/1401 peserta): kira-kira 1% peserta meninggal dunia sebagai akibat sebarang sebab selepas pembedahan, tetapi tidak terdapat perbezaan yang bermakna antara kumpulan-kumpulan rawatan tersebut. Empat percubaan yang melaporkan kesan-kesan negatif antibiotik - kesan-kesan negatif tersebut tidak dijumpai dalam 561 orang peserta. Tidak ada percubaan yang melaporkan kualiti hidup, kepanjangan tempoh tinggal di hospital ataupun penggunaan sumber penjagaan kesihatan. 221 SSI yang dikaitkan dengan mana-mana bakteria telah ditemui dalam 4032 orang (6%), dan 46 MRSA SSIs ditemui dalam 4704 orang (1%) secara keseluruhan. Tidak ada perbezaan yang bermakna dalam pembangunan SSI antara 15 perbandingan pelbagai jenis rawatan antibiotik. Apabila profilaksis antibiotik dengan penggunaan co-amoxiclav dibandingkan dengan tiada profilaksis antibiotik, jumlah orang yang dijangkiti SSIs adalah lebiih rendah selepas menerima co-amoxiclav (74% pengurangan dalam jangkitan semua SSIs, dan 95% pengurangan dalam jangkitan MRSA SSIs).

Dua kajian melaporkan bahawa 19 peserta mengalami jangkitan MRSA dalam kawasan luka (SSI), dada, atau aliran darah, tetapi tidak terdapat perbezaan yang bermakna dalam kalangan orang yang dijangkiti penyakit-penyakit tersebut antara kedua-dua perbandingan tersebut.

Profilaksis dengan co-amoxiclav dapat mengurangkan kadar orang yang mengalami jangkitan MRSA jika berbanding dengan tiada profilaksis antibiotik dalam kalangan pesakit tanpa kanser yang menjalani pembedahan bagi memasukkan tiub makan ke dalam perut dengan menggunakan endoskopi, walaupun hal ini mungkin disebabkan oleh pengurangan jangkitan secara keseluruhan dan jadi mencegah kawasan luka daripada jangkitan MRSA. Kini, tiada bukti yang lain sama ada kombinasi antibiotik profilaktik, atau peningkatan tempoh rawatan antibiotik, dapat memberikan manfaat dari segi pengurangan jangkitan MRSA kepada orang yang menjalani pembedahan. RCT yang direka dengan baik perlu untuk menilai rawatan antibiotik yang berbeza dalam pencegahan jangkitan MRSA selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Chris_ZY@live.com

Tools
Information