Program pendidikan berasaskan sekolah bagi pencegahan kecederaan yang tidak disengajakan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda

Mengenai soalan sorotan

Kami telah melihat bukti-bukti tentang kesan-kesan program di sekolah-sekolah yang bertujuan untuk mencegah kecederaan yang tidak disengajakan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda. Pencegahan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak adalah penting kerana kecederaan kerap berlaku dalam kumpulan umur ini dan kesannya terhadap kanak-kanak dan keluarga mungkin teruk dan berpanjangan. Sekolah-sekolah berpotensi menjadi persekitaran yang baik untuk menjalankan progam-program pendidikan yang bertujuan untuk mencegah berlakunya kecederaan sedemikian. Namun begitu, keberkesanan program ini belum pernah dikaji dengan teliti. Kami menemukan 27 kajian untuk menolong kami menyelesaikan persoalan ini.

Latar belakang

Kami ingin mengenal pasti sama ada mengajar kanak-kanak mengenai langkah pencegahan kecederaan di sekolah akan mengurangkan kecederaan, meningkatkan pengetahuan berkenaan tentang langkah pencegahan kecederaan, dan menambah baik tingkah laku yang berkaitan dengan keselamatan. Kami juga ingin menilai sama ada pendekatan ini memberi nilai terbaik untuk wang.

Ciri-ciri kajian

Bukti-bukti adalah terkini setakat September 2016. Sorotan ini merangkumi dapatan daripada 27 kajian yang melibatkan 73,557 kanak-kanak. Ia termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur empat hingga 18 tahun. Kajian-kajian tersebut membandingkan pendidikan pencegahan kecederaan sama ada dengan kurikulum biasa atau program alternatif yang tidak berkaitan dengan kecederaan. Kajian-kajian yang disertakan bertujuan untuk mencegah pelbagai jenis kecederaan. Kami tidak menyertakan program-program yang hanya memberi fokus kepada satu punca kecederaan. Sorotan ini menilai kesan-kesan program pendidikan terhadap kejadian kecederaan dalam kalangan kanak-kanak, kemahiran keselamatan mereka, tingkah laku dan pengetahuan. Sorotan ini juga menilai sama ada pendekatan berasaskan sekolah memberikan nilai terbaik untuk wang.

Keputusan utama

Hanya beberapa kajian melaporkan kesan terhadap kejadian kecederaan dalam kalangan kanak-kanak, oleh itu kesan-kesan tidak membawa pada sebarang kesimpulan. Namun, ini tidak bermakna program-program berasaskan sekolah tidak berkesan tdetapi memerlukan lebih bukti. Sorotan ini ada menemukan bukti bahawa program pendidikan pencegahan kecederaan berasaskan sekolah boleh menambah baik kemahiran keselamatan, tingkah laku yang selamat dan pengetahuan keselamatan dalam kalangan kanak-kanak. Namun, bukti tersebut tidak konsisten; sesetengah kajian menunjukkan kesan positif manakala yang lain menunjukkan tiada kesan. Hanya satu kajian melaporkan keberkesanan kos program berasaskan sekolah, oleh itu kesimpulan sukar dibuat berdasarkan bukti ini sahaja.

Kualiti bukti

Secara am, kajian-kajian tersebut berkualiti rendah untuk semua ukuran keberkesanan program-program, terutamanya bagi tingkah laku dan pengetahuan. Hal ini afdalah kerana maklumat mengenai kaedah pelaksanaan kajian tidak dilaporkan dengan jelas dalam kebanyakan laporan kajian, atau terdapat kelemahan yang ketara dalam kaedah pelaksanaan. Lebih banyak kajian yang berkualiti lebih tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information
Share/Save