Intervensi yang dikhususkan kepada komuniti untuk memaklumkan dan/atau mendidik tentang vaksinasi awal kanak-kanak

Penyelidik-penyelidik dalam kolaborasi Cochrane telah menjalankan kajian ke atas kesan memaklumkan atau mendidik ahli-ahli komuniti tentang vaksinasi awal kanak-kanak. Selepas mencari semua kajian yang berkaitan, mereka menemui dua kajian, diterbitkan pada tahun 2007 dan 2009. Penemuan mereka diringkaskan sebagaimana di bawah.

Apakah intervensi yang dikhususkan kepada komuniti bagi imunisasi kanak-kanak?

Vaksin kanak-kanak boleh mencegah penyakit dan kematian, tetapi ramai kanak-kanak tidak mendapat vaksinasi. Terdapat beberapa sebab untuk ini. Salah satu sebab adalah kemungkinan keluarga tersebut kekurangan pengetahuan tentang penyakit-penyakit yang vaksin boleh mencegah, bagaimana vaksin berfungsi, atau bagaimana, di mana atau bila untuk mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka. Masyarakat juga mungkin mempunyai kebimbangan (atau mungkin disalahmaklumkan) tentang manfaat dan kemudaratan vaksin yang berbeza.

Memberi maklumat atau pendidikan kepada masyarakat supaya mereka boleh membuat keputusan yang termaklum mengenai kesihatan mereka adalah bahagian yang penting dalam semua sistem kesihatan. Maklumat dan pendidikan vaksin bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan rakyat dan mengubah sikap mereka kepada vaksin dan memberi pengetahuan tentang penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin berkenaan. Maklumat atau pendidikan vaksin sering diberikan secara bersemuka kepada ibu-bapa, sebagai contoh semasa lawatan di rumah atau di klinik. Satu lagi ulasan Cochrane menilai kesan maklumat jenis ini. Tetapi maklumat ini juga boleh diberikan kepada kumpulan yang lebih besar di dalam masyarakat, sebagai contoh di dalam mesyuarat awam dan kelab-kelab wanita, melalui program-program televisyen atau radio, atau melalui poster dan risalah. Dalam ulasan ini, kami telah mengkaji maklumat atau pendidikan yang ditujukan kepada seluruh komuniti dan bukannya ibu bapa atau penjaga secara individu.

Ulasan ini menjumpai dua kajian. Kajian pertama dilakukan di India. Di sini, keluarga, guru-guru, kanak-kanak dan pemimpin kampung digalakkan untuk menghadiri mesyuarat maklumat di mana mereka diberi maklumat mengenai imunisasi kanak-kanak dan mereka boleh bertanya soalan. Poster dan risalah juga diedarkan dalam masyarakat. Kajian kedua adalah dari Pakistan. Di sini, orang yang dianggap boleh dipercayai dalam masyarakat telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat di mana mereka membincangkan kadar semasa liputan vaksin dalam komuniti mereka dan kos dan manfaat vaksinasi kanak-kanak. Mereka juga diminta untuk menghasilkan pelan tindakan tempatan, untuk berkongsi maklumat yang telah diberikan kepada mereka dan meneruskan perbincangan dengan rumah tangga di dalam komuniti mereka.

Apa yang berlaku apabila ahli-ahli komuniti dimaklumkan atau dididik tentang vaksin?

Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa maklumat atau pendidikan berasaskan komuniti:

- boleh meningkatkan pengetahuan tentang vaksin atau penyakit-penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin;

- mungkin dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak yang divaksinasi (kedua-dua kajian yang di India dan di Pakistan menunjukkan kemungkinan adanya pertambahan bilangan kanak-kanak divaksinasi);

- mungkin dapat membuat perbezaan yang sedikit atau tiada perbezaan dalam penglibatan ibu dalam membuat keputusan tentang vaksinasi;

- mungkin boleh mengubah sikap memihak kepada suntikan dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil;

Kami menilai semua bukti ini dan mendapati tahap kepastian adalah rendah atau sederhana.

Kajian-kajian ini tidak menilai sama ada jenis maklumat atau pendidikan ini memberi pengetahuan tentang penyampaian perkhidmatan vaksinasi yang lebih baik antara peserta atau meningkatkan keyakinan mereka terhadap keputusan yang dibuat. Kajian-kajian ini juga tidak menilai kos projek pemberian maklumat dan pendidikan ini dan sama ada ia mendatangkan sebarang kemudaratan yang tidak disengajakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save