Intervensi psikologi untuk mereka yang hidup dengan hemophilia


Soalan tinjauan

Adakah intervensi psikologi meningkatkan kualiti hidup pengidap hemofilia?

Latar belakang

Hemofilia adalah gangguan pendarahan yang diwarisi. Individu yang mengidap hemofilia mengalami pendarahan sendi, sekiranya tidak dirawat akan meningkatkan kelumpuhan kerosakan sendi akibat pendarahan sendi yang berulang. Bergantung pada kesediaan rawatan, mereka yang mengidap hemofilia sama ada mampu atau tidak mampu menikmati kehidupan normal sepenuhnya, dan secara kebiasaan terbatas dalam melakukan aktiviti fizikal, penyertaan sukan, merancang hidup berkeluarga, belajar dan berprestasi dalam pekerjaan. Intervensi psikologi kebiasaannya dilihat sebagai penting bagi mengurangkan kesan disebabkan hemofilia dan akan menjejaskan kualiti hidup individu yang mengidap keadaan ini.

Tarikh carian

Bukti terkini sehingga 13 Jun 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami turut memasukkan kajian yang membandingkan pengidap hemofilia yang menerima intervensi psikologi berbanding individu lain yang menerima intervensi berbeza atau tiada intervensi sama sekali.

Kami mendapati tujuh kajian dengan 362 pengidap hemofilia berumur 6 hingga 65 tahun. Kajian dibandingkan sama ada informasi berbentuk DVD beserta buku panduan atau pembelajaran berkomputer atau hipnosis auto (hipnosis kendiri) atau teknik relaksasi atau tiada rawatan dan mereka dipilih secara rawak untuk menerima mana-mana rawatan. Kajian dijalankan dalam masa satu hingga enam bulan.

Keputusan utama

Semua rawatan adalah selamat, tiada kesan sampingan dilaporkan. Intervensi pendidikan secara psikologi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dilihat menggalakkan rasa keupayaan diri dan kemahiran pengurusan diri yang lebih baik, walau bagaimanapun, bukti kajian mencadangkan rekabentuk eksperimen yang lebih ketat diperlukan. Satu kajian dalam kalangan orang dewasa tidak menunjukkan sebarang kesan. Hipnosis-kendiri dan teknik relaksasi tidak diuji untuk hasil utama tetapi berguna dalam mengurangkan bilangan dan keterukan pendarahan sendi apabila rawatan ubat tidak diperolehi. Kesan dari intervesi-intervensi ini dalam kualiti kehidupan adalah berbeza. Masalah utama yang kami temui dalam kajian ini adalah perbezaan rekabentuk kajian, intervensi yang digunakan dan hasil dapatan yang digunakan dalam setiap kajian. Kami amat menyarankan penyelidik dalam bidang mempertimbangkan untuk membangunkan satu set hasil teras untuk memperkemaskan kajian pada masa hadapan. Kajian secara rawak dibuktikan selamat dan dapat diterima dalam bidang kajian ini, dan pembutaan penilai perlu dipertimbangkan bersama hasil yang dilaporkan oleh pesakit.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah ke sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Asmidar Alias (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information