Tambahanintravena beta2-agonis kepada beta2-agonis sedutan untuk asma akut

Ubat beta2-agonis digunakan untuk rawatan asma dan bertindak membuka saluran pernafasan untuk membantu pesakit bernafas dengan lebih mudah.  Beta2-agonis boleh diberi kepada pesakit dengan dua cara berbeza - secara intravena (terus melalui vena) dan melalui penyedut.  Penyedut adalah salah satu rawatan paling penting untuk pesakit asma akut yang teruk. Ulasan ini mempertimbangkan soalan samada rawatan boleh menambahkan manfaat jika pesakit menerima ubat menggunakan kedua-dua cara (melalui bernafas menggunakan penyedut dan menerimanya terus melalui vena) berbanding dengan hanya menyedutnya sahaja. Ulasan ini meneliti kesemua kajian rawak terkawal ke atas penggunaan intravena beta2-agonis sebagai tambahan kepada sedutan beta2-agonis dengan penjagaan standard sedia ada (seperti steroid sama ada diambil sebagai pil atau suntikan) dalam asma akut yang teruk.   

Kami menemui tiga kajian melibatkan 104 pesakit (75 kanak-kanak dan 29 dewasa) dengan asma akut. Tiada perbezaan signifikan dalam kalangan dewasa yang menerima beta-agonis intravena dan juga penjagaan standard dalam satu kajian kecil yang melihat perbandingan ini. Kami juga melihat tempoh masa berada di jabatan kecemasan. Dua kajian melaporkan masa pemulihan yang lebih singkat atau discaj yang lebih cepat daripada jabatan kecemasan bagi pesakit yang juga menerima beta-agoni intravena. Satu kajian melaporkan lebih ramai kanak-kanak mengalami geletar jika mereka diberi suntikan beta-agonis manakala dalam kajian lain dengan orang dewasa, melaporkan tiada perbezaan signifikan dalam kesan buruk. Oleh kerana bilangan kajian adalah kecil dan bilangan pesakit juga sangat kecil kami tidak dapat tentukan kebolehpercayaan penemuan ini.

Sehingga lebih banyak kajian klinikal yang berkualiti tinggi dilaksanakan dalam hal ini ulasan ini tidak dapat menentukan sama ada terdapat peningkatan manfaat menggunakan tambahan beta2-agonis intravena dalam kalangan kanak-kanak atau dewasa dengan asma akut yang teruk berbanding beta2-agonis sedutan sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information