Rawatan untuk disfagia (kesukaran menelan) di kalangan pesakit ataksia keturunan

Soalan Kajian

Kami mengkaji bukti bagi rawatan masalah disfagia di kalangan pesakit yang mempunyai satu daripada banyak jenis masalah ataksia keturunan.

Latar Belakang

Ataksia keturunan adalah sekumpulan pelbagai jenis gangguan yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengawal pergerakan ototnya. Gejala-gejala menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa. Ataksia keturunan juga boleh menjejaskan penglihatan, pertuturan, pemikiran, dan keupayaan menelan. Walaupun masalah menelan adalah biasa dalam pesakit ataksia, kita belum mengetahui secukupnya tentang sifat dan darjah keterukannya. Kehilangan upaya untuk menelan dengan efektif dan selamat boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan secara mendadak. Memperbaiki keupayaan untuk makan dan minum adalah merupakan matlamat penting dalam penjagaan klinikal pesakit yang mengalami ataksia keturunan.

Kami ingin melihat sama ada terdapat rawatan untuk disfagia memberi manfaat kepada pesakit yang mengalami ataksia keturunan. Pesakit dengan masalah menelan boleh mengalami kekurangan nutrisi (kekurangan khasiat mencukupi), dehidrasi (kekurangan cecair) dan aspirasi pneumonia (jangkitan sekunder paru-paru berpunca daripada makanan atau cecair memasuki paru-paru), yang boleh membawa maut. Apa-apa rawatan yang bertujuan untuk mencegah masalah-masalah atau meningkatkan keupayaan menelan adalah maklumat yang dicari dalam kajian ini.

Ciri-ciri Kajian

Kami mencari kajian rawak terkawal (RCTs) atau kuasi-RCTs daripada pangkalan data perubatan, kajian melibatkan rawatan untuk kesukaran menelan dalam pesakit ataksia keturunan. RCTs yang dijalankan dengan baik akan memberi bukti-bukti kualiti yang terbaik. Kajian kuasi rawak yang dijalankan menggunakan peserta dirawat menggunakan kaedah yang tidak benar-benar rawak, seperti mengikut tarikh lahir, nombor rekod kes atau hari dalam seminggu. Tiada kajian memenuhi kriteria kemasukan yang telah ditetapkan ini.

Keputusan Utama

Kami mendapati tiada RCTs atau kuasi-RCTs rawatan untuk masalah menelan dalam pesakit ataksia keturunan.

Kesimpulan

Ketiadaan kajian berkualiti tinggi yang menilai keberkesanan rawatan untuk gangguan disfagia ini bermakna tiada kesimpulan boleh dibuat untuk rawatan paling sesuai dan ini menunjukkan keperluan yang mendesak untuk kajian rawak terkawal dalam bidang ini.

Bukti ini adalah terkini sehingga September 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information
Share/Save