Inisiatif nasional kerajaan untuk mengurangkan pengambilan garam dalam populasi

Masalahnya
Di hampir semua negara di seluruh dunia, kebanyakan orang makan terlalu banyak garam. Ini adalah masalah kerana makan terlalu banyak boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, yang boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan strok. Untuk mengurangkan jumlah garam yang dimakan, kerajaan di kebanyakan negara telah membangunkan inisiatif pengurangan garam nasional.

Soalan ulasan
Matlamat kami adalah untuk mengkaji sama ada inisiatif pengurangan garam nasional berkesan dalam mengurangkan jumlah garam yang diambil dalam populasi-populasi tersebut.

Ciri-ciri kajian
Kami mencari kertas penyelidikan dan laporan kerajaan dan berkomunikasi langsung dengan individu-individu yang bekerja dalam pengurangan garam di negara masing-masing. Bukti adalah terkini sehingga 5 Januari 2015, ketika kami mencari pangkalan data elektronik. Inisiatif dari 15 negara memenuhi kriteria inklusi. Sepuluh dari negara-negara ini memberikan data yang cukup untuk analisis kuantitatif, yang dikumpul dari kajian-kajian yang melibatkan 64,798 peserta. Inisiatif-inisiatif terdiri daripada satu aktiviti (contohnya di Jepun, pada masa penulisan mempunyai kempen maklumat awam) hingga pelbagai aktiviti (seperti di United Kingdom, yang menyediakan lima aktiviti termasuk maklumat nutrisi dipaket, mengehadkan pemasaran kepada kanak-kanak dan perumusan semula produk makanan). Daripada 15 negara yang memenuhi kriteria inklusi, tujuh menyediakan maklumat mengenai sumber pembiayaan, yang mana enam melaporkan pembiayaan bukan industri. Lapan negara yang lain tidak melaporkan sumber pembiayaan untuk satu atau lebih titik data.

Keputusan utama dan kualiti bukti
Lima daripada 10 negara termasuk dalam analisis kuantitatif (China, Finland, Perancis, Ireland dan England) menunjukkan pengurangan pengambilan garam selepas intervensi tersebut. Dua daripada 10 negara (Kanada, Switzerland) menunjukkan peningkatan dalam pengambilan garam selepas intervensi, namun di kedua-dua negara tersebut, data tunggal yang ada diperoleh dari beberapa tahun sebelum intervensi bermula. Oleh kerana inisiatif-inisiatif tersebut sangat berbeza, kami tidak dapat mengemukakan penemuan keseluruhan sama ada jenis-jenis inisiatif tersebut berkesan.

Apabila kami menumpukan perhatian kepada subset dari tujuh negara yang mana inisiatif pengurangan garam memasukkan beberapa komponen dan tidak fokus untuk mendidik orang ramai, kita mendapati lebih separuh (empat daripada tujuh) menunjukkan pengurangan pengambilan garam dari sebelum itervensi berbanding selepas intervensi.

Apabila kami mengkaji sembilan inisiatif yang menganalisis lelaki dan wanita secara berasingan, kami dapati antara lelaki, lebih separuh (lima daripada sembilan) menunjukkan pengurangan pengambilan garam selepas intervensi. Dalam kalangan wanita, corak penemuan tidak jelas, dengan tiga daripada sembilan intervensi menunjukkan pengurangan, dua menunjukkan peningkatan dan empat menunjukkan tiada perubahan dalam pengambilan garam.

Reka bentuk kajian bias rendah, seperti kajian rawak terkawal, biasanya tidak sesuai untuk menilai inisiatif kompleks seperti ini; oleh itu, kami menilai semua kajian yang termasuk dalam ulasan ini berkualiti metodologi rendah. Sampel yang mewakili penduduk yang lebih besar dan pengukuran pengambilan natrium diet adalah kekuatan dalam beberapa kajian. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh batasan reka bentuk kajian, kebolehpercayaan hasil kajian adalah tidak jelas.

Secara keseluruhan, keputusan kami menunjukkan inisiatif kerajaan nasional berpotensi untuk mengurangkan pengambilan garam secara keseluruhannya, terutamanya dalam kalangan lelaki, dan khusunya jika negara tersebut menggunakan lebih dari satu strategi dan memasukkan aktiviti struktur seperti perumusan semula produk makanan (iaitu syarikat makanan yang meletakkan kurang garam dalam produk makanan). Variasi keputusan yang meluas di antara kajian-kajian yang kami dapati mengemukakan satu cabaran dalam mentafsir bukti terkini dan ini memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk membantu kami memahaminya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save