Propionyl-L-carnitine untuk klaudikasi sekejap-sekejap

Latar belakang

Penyakit arteri periferal (PAD), selalunya disebabkan oleh aterosklerosis sistemik, menjejaskan 4% hingga 12% daripada populasi yang berumur 55 hingga 70 tahun dan sehingga 20% daripada orang yang berumur lebih dari 70 tahun. Penyakit arteri periferi cenderung lebih kerap berlaku pada lelaki secara keseluruhan, tetapi wanita mempunyai PAD tanpa gejala. Kira-kira 10% hingga 35% daripada mereka yang terjejas dengan PAD melaporkan klaudikasi sekejap-sekejap. Klaudikasi sekejap-sekejap dicirikan oleh sakit di kaki atau punggung yang berlaku semasa senaman dan berkurangan dengan berehat. Berbanding dengan kawalan yang dipadankan dengan umur, orang yang mengalami klaudikasi sekejap-sekejap mempunyai peningkatan risiko enam kali ganda untuk kematian kardiovaskular. Rawatan harus merangkumi semua langkah pencegahan untuk penyakit kardiovaskular, termasuk berhenti merokok, senaman, dan rawatan untuk hipertensi, diabetes dan kolesterol. Ubat antiplatelet dan statin diberikan untuk mengurangkan risiko kejadian serebrovaskular dan koronari.

Untuk menambahbaik simptom klaudikasi, senaman yang kerap (yang diawasi) dan berhenti merokok adalah asas utama dalam pengurusan klaudikasi sekejap-sekejap. Rawatan ubat adalah termasuk, selain ubat antiplatelet dan agen penurun lipid, agen vasoaktif untuk meningkatkan aliran darah, mengurangkan kesakitan, dan meningkatkan jarak berjalan kaki. Sebilangan kecil orang dengan klaudikasi sekejap-sekejap menjalani intervensi endovaskular atau pembedahan vaskular. Banyak ejen farmakologi telah digalakkan untuk merawat klaudikasi terputus-putus, tetapi tidak ada yang mendapat penerimaan di seluruh dunia. Sebilangan kecil menunjukkan peningkatan yang sedikit hingga sederhana dalam prestasi berjalan kaki dan dicadangkan secara berhemat dalam garis panduan. Propionyl-L-carnitine (PLC) ialah ubat yang boleh mengurangkan gejala PAD melalui laluan metabolik, dengan itu meningkatkan prestasi senaman.

Keputusan utama

Carian untuk artikel berkaitan propionyl-L-carnitine untuk rawatan klaudikasi sekejap-sekejap mengenalpasti 12 kajian yang berkaitan yang sepadan dengan kriteria penyertaan kami (semasa sehingga Julai 2021). Dalam 11 kajian, peserta menerima sama ada 1 gram hingga 2 gram PLC oral (9 kajian) atau propionyl-L-carnitine intravena (3 kajian) setiap hari ataupun plasebo. Satu kajian membandingkan propionyl-L-carnitine dengan L-carnitine. Kajian yang membandingkan PLC dengan intervensi lain seperti senaman, ubat lain, intervensi endovaskular atau pembedahan vaskular tidak dikenalpasti.

Jarak berjalan kaki maksimum (atau jarak klaudikasi mutlak (ACD)) ialah jarak berjalan kaki semasa ujian piawai di mana peserta berhenti berjalan akibat kekejangan otot. Jarak berjalan kaki tanpa rasa sakit (atau jarak klaudikasi awal (ICD)) ialah jarak berjalan semasa ujian piawai sehingga kesakitan bermula. ACD dan ICD adalah hasil daripada parameter semakan dan menunjukkan peningkatan sederhana: untuk ACD, peserta yang diberikan propionyl-L-carnitine berjalan sejauh 50.86 meter atau 26% lebih jauh daripada peserta dengan plasebo; untuk ICD, peserta dengan propionyl-L-carnitine berjalan sejauh 32.98 meter atau 31% lebih jauh daripada peserta dengan plasebo. Peserta propionyl-L-carnitine menunjukkan peningkatan dalam indeks brachial buku lali sebanyak 0.09 berbanding peserta plasebo. Peningkatan dalam kualiti hidup juga lebih tinggi dalam kumpulan propionyl-L-carnitine; namun, ini adalah berdasarkan penemuan satu kajian sahaja. Kesan sampingan propionyl-L-carnitine adalah serupa dengan plasebo dan kebanyakannya terdiri daripada rasa loya, intoleransi gastrik dan gejala seperti selesema. Propionyl-L-carnitine nampaknya merupakan ubat yang boleh diterima dengan baik dan adalah selamat.

Dalam satu kajian propionyl-L-carnitine berbanding L-carnitine, peserta pada propionyl-L-carnitine menunjukkan peningkatan yang ketara dalam prestasi berjalan kaki berbanding mereka yang menerima L-carnitine (ACD dan ICD). Kajian ini tidak melaporkan hasil kajian yang lain.

Kepastian bukti

Kepastian bukti secara keseluruhan adalah sederhana (untuk propionyl-L-carnitine berbanding plasebo) atau rendah (untuk propionyl-L-carnitine berbanding L-carnitine) kerana perbezaan antara kajian seperti peserta yang datang dari negara dan pusat yang berbeza, peserta dengan dan tanpa diabetes, penggunaan protokol treadmill yang berbeza, bilangan peserta yang kecil, dan masa susulan yang singkat, masing-masing.

Kesimpulan

Apabila propionil-L-carnitine dibandingkan dengan plasebo, peningkatan dalam jarak berjalan kaki adalah sedikit hingga sederhana dan profil keselamatan adalah serupa, dengan kepastian bukti yang sederhana secara keseluruhan. Walaupun dalam amalan klinikal, propionyl-L-carnitine mungkin dianggap sebagai ubat alternatif yang berguna atau tambahan kepada rawatan standard apabila terapi tersebut dikontraindikasikan atau tidak berkesan, kami mendapati tiada bukti dalam percubaan klinikal yang membandingkan propionyl-L-carnitine dengan rawatan standard untuk menyokong penggunaan sedemikian secara langsung. .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information