Pengurangan pengambilan alkohol untuk mengawal darah tinggi

Soalan ulasan

Kami menilai sama ada intervensi untuk mengurangkan pengambilan alkohol membawa impak yang lebih besar berbanding jenis intervensi yang lain (atau tidak ada intervensi sama sekali) dalam mengurangkan tekanan darah bagi orang yang mengalami tekanan darah tinggi dan minum alkohol.

Latar belakang

Tekanan darah tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung, strok dan kematian. Minum alkohol secara berlebihan meningkatkan risiko kardiovaskular dan dikaitkan dengan masalah jantung dan vaskular. Beberapa kajian telah mengesahkan hubungan antara pengambilan alkohol dan hipertensi.

Beberapa kajian telah menilai bagaimana pengambilan alkohol dapat mempengaruhi tekanan darah. Namun, masih belum jelas sama ada intervensi untuk mengurangkan pengambilan alkohol boleh mengubah tekanan darah.

Tarikh carian

Kami mencari bukti sehingga Jun 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan satu kajian dengan 269 peserta yang diikuti selama 24 bulan. Kami menilai data untuk mengenal pasti perbezaan tekanan darah, jumlah kematian dan penyakit serius antara sekumpulan orang yang menerima bantuan psikologi untuk mengurangkan pengambilan alkohol dan orang yang tidak menerima bantuan ini.

Keputusan utama

Berdasarkan maklumat terhad ini, walaupun para peserta yang mendapat bantuan psikologi dapat mengurangkan pengambilan alkohol mereka lebih banyak berbanding mereka yang tidak mendapat bantuan tersebut, kami mendapati tidak ada perbezaan dalam jumlah kematian, jumlah masalah jantung dan jumlah masalah vaskular antara orang yang menerima bantuan psikologi untuk mengurangkan pengambilan alkohol dan mereka yang tidak mendapat bantuan sedemikian. Kami juga tidak menemui perbezaan dalam pengurangan tekanan darah. Data mengenai kualiti hidup atau kesan buruk yang serius adalah tidak tersedia.

Kepastian bukti

Kami hanya menemui satu kajian yang relevan untuk menjawab soalan kami. Kepastian bukti dari kajian tunggal yang disertakan ini adalah dinilaikan sebagai rendah hingga sangat rendah. Lebih banyak kajian jangka panjang perlu dilakukan untuk menilai kesan pengurangan pengambilan alkohol terhadap tekanan darah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save