Rawatan antibiotik untuk mikobakteria ‘nontuberculous’ dalam kalangan orang dengan fibrosis sista

Mikobakteria ‘nontuberculous’ adalah bakteria dalam keluarga yang sama dengan tuberkulosis dan lazim terdapat di dalam tanah dan air. Bakteria ini boleh dijumpai dalam paru-paru orang dengan fibrosis sista dan boleh memburukkan fungsi paru-paru mereka. Walaupun terdapat garis panduan antibiotik yang patut diguna untuk merawat jangkitan paru-paru akibat bakteria ini, syor adalah tidak spesifik untuk orang dengan fibrosis sista. Adalah tidak jelas juga antibiotik mana yang paling berkesan. Tujuan utama ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada rawatan dengan pelbagai kombinasi antibiotik untuk jangkitan mikobakteria ‘nontuberculous’ akan memperbaiki fungsi paru-paru atau mengurangkan kekerapan jangkitan dada dalam kalangan orang dengan fibrosis sista. Kami menemui satu kajian rawak terkawal tetapi ia melibatkan kedua-dua orang dengan dan tanpa fibrosis sista dan kami tidak mendapat maklumat spesifik tentang individu dengan fibrosis sista, oleh itu tidak dapat memasukkan maklumat tersebut dalam ulasan ini. Sehingga maklumat tersebut tersedia, klinisian harus mengikut garis panduan semasa untuk diagnosis dan rawatan jangkitan paru-paru mikobakteria ‘nontuberculous’ dalam populasi umum.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti penggunaan antibiotik untuk merawat jangkitan mikobakteria ‘nontuberculous’ dalam kalangan orang dengan fibrosis sista.

Latar belakang

Mikobakteria ‘nontuberculous’ adalah bakteria yang berasal dari keluarga yang sama dengan tuberkulosis dan lazim terdapat di dalam tanah dan air. Bakteria ini boleh ditemui di paru-paru orang dengan fibrosis sista dan boleh memburukkan fungsi paru-paru mereka. Walaupun terdapat garis panduan penggunaan antibiotik untuk merawat jangkitan paru-paru disebabkan oleh bakteria ini, syor ini tidak spesifik untuk orang dengan fibrosis sista. Adalah tdak jelas juga antibiotik mana yang paling berkesan. Tujuan utama tinjauan ini adalah untuk menunjukkan sama ada merawat jangkitan mikobakteria ‘nontuberculous’ dengan pelbagai kombinasi antibiotik memperbaiki fungsi paru-paru atau mengurangkan kekerapan jangkitan dada dalam kalangan orang dengan fibrosis sista.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 24 Februari 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui satu kajian rawak terkawal tetapi ia melibatkan kedua-dua orang dengan dan tanpa fibrosis sista dan kami tidak mendapat maklumat spesifik tentang individu dengan fibrosis sista, oleh itu tidak dapat memasukkan maklumat tersebut dalam ulasan ini.

Keputusan utama

Sehingga data kajian rawak terkawal tersedia untuk individu dengan fibrosis sista, klinisian harus mengikut garis panduan semasa untuk diagnosis dan rawatan jangkitan paru-paru mikobakteria ‘nontuberculous’ dalam populasi umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save