Latihan senaman selepas pembedahan paru-paru bagi orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil

Soalan ulasan

Kami mengemas kini bukti tentang kesan latihan senaman selepas pembedahan paru-paru bagi kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) terhadap tahap kecergasan; peristiwa buruk; kualiti hidup; kekuatan kaki, tangan, dan otot pernafasan; tahap kelesuan; perasaan runsing dan kemurungan; dan fungsi paru-paru.

Latar belakang

Selepas pembedahan paru-paru bagi NSCLC, tahap kecergasan dan kualiti hidup akan berkurangan. Latihan senaman memperbaiki hasil-hasil ini dalam kalangan orang dengan penyakit paru-paru kronik dan mereka dengan kanser prostat dan payudara. Dalam versi 2013 ulasan ini, kami menunjukkan latihan senaman memperbaiki tahap kecergasan (jarak berjalan dalam ujian berjalan enam minit) dalam kalangan orang selepas pembedahan paru-paru untuk NSCLC. Oleh kerana bilangan kajian yang terhad, kesan latihan senaman terhadap kualiti hidup dan hasil lain adalah tidak jelas.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian dari ulasan 2013 dan tambahan lima kajian baru untuk ulasan terkini, menjadikan jumlah lapan kajian dengan 450 peserta (180 wanita). Bilangan peserta kajian adalah di antara 17 dan 131; umur purata peserta adalah di antara 63 dan 71 tahun. Enam kajian meneroka kesan kombinasi senaman aerobik dan senaman pengukuhan; satu kajian meneroka kesan kombinasi senaman aerobik dan latihan otot inspiratori; dan satu meneroka kesan kombinasi senaman aerobik, senaman pengukuhan,latihan otot inspiratori, dan latihan imbangan. Tempoh program senaman adalah antara empat hingga 20 minggu, dengan senaman-senaman dijalankan dua hingga lima hari seminggu.

Keputusan-keputusan utama

Keputusan kami menunjukkan orang dengan NSCLC yang bersenam selepas pembedahan paru-paru mempunyai tahap kecergasan (diukur menggunakan ujian berbasikal dan ujian berjalan enam minit) dan kekuatan otot kaki yang lebih baik berbanding mereka yang tidak bersenam. Kami juga menunjukkan bukti awal untuk kualiti hidup yang lebih baik dan kurang sesak nafas dalam kalangan yang bersenam. Satu peristiwa buruk (patah pinggul) yang berkaitan dengan intervensi dilaporkan dalam satu kajian. Kesan latihan senaman selepas pembedahan paru-paru terhadap kekuatan cengkaman, tahap kelesuan, dan fungsi paru-paru adalah tidak pasti. Kami mendapati tiada cukup bukti pemulihan kekuatan otot pernafasan atau perasaan runsing dan kemurungan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kualiti (kepastian) bukti untuk hasil-hasil kajian adalah sederhana, antara sangat rendah (untuk kesesakan nafas) dan tinggi (untuk tahap kecergasan yang diukur melalui ujian berjalan kaki enam minit).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Noorliza Mastura ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)

Tools
Information
Share/Save