Mesej utama
Intervensi imunomodulator ialah rawatan yang menyasarkan kepada sistem imun.
Epilepsi fokal dicirikan oleh sawan yang timbul dari kawasan spesifik otak.
Intervensi imunomodulator adalah lebih berkesan secara signifikan berbanding plasebo dalam mengurangkan kekerapan sawan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami epilepsi fokal.
Apakah epilepsi?
Epilepsi ialah keadaan neurologi yang biasa melibatkan kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia. Epilepsi fokal dicirikan oleh sawan yang timbul dari kawasan spesifik otak. Kira-kira satu pertiga pesakit epilepsi terus mengalami sawan meskipun mendapat rawatan menggunakan ubat-ubatan antiepileptik. Oleh itu, pembangunan terapi baharu yang efektif untuk rawatan epilepsi adalah sangat penting. Baru-baru ini, telah dicadangkan bahawa sistem imun dan cara ia bertindak balas kepada kecederaan mungkin memainkan peranan penting dalam proses ini. Oleh itu, intervensi imunomodulator - rawatan yang menyasarkan kepada sistem imun - mungkin boleh menjadi satu pendekatan terapeutik untuk epilepsi fokal.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan yang menyasarkan kepada sistem imun adalah lebih baik daripada plasebo, dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan epilepsi fokal. Kami juga ingin mengetahui sekiranya rawatan tersebut adalah selamat.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang melihat kepada rawatan-rawatan yang menyasarkan sistem imun dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan epilepsi fokal. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kepada faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Rawatan yang menyasarkan kepada sistem imun mungkin berkesan dalam mengurangkan kekerapan sawan dalam kalangan orang dewasa dengan epilepsi fokal. Rawatan sebegini lebih kerap dikaitkan dengan peningkatan kesan sampingan seperti pening, sakit kepala, kelesuan, dan gangguan gastrousus, tetapi tiada sebarang kesimpulan yang boleh dibuat tentang keselamatan agen dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan epilepsi fokal.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan pada tahap sederhana pada bukti tersebut disebabkan oleh tiada data keberhasilan dan keputusan kajian yang tidak tepat. Penyelidikan berkualiti tinggi selanjutnya diperlukan untuk menilai keberkesanan dan toleransi intervensi imunomodulator.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga November 2021.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).