Rawatan CERA untuk anemia dalam penghidap penyakit buah pinggang kronik

Apakah isunya?

Beberapa rawatan boleh didapati untuk merawat anemia dalam orang yang mempunyai penyakit buah pinggang. Rawatan ini meningkatkan keupayaan badan untuk menghasilkan sel darah merah yang mengambil oksigen dari paru-paru dan membawanya ke seluruh badan. Buah pinggang biasanya menghasilkan hormon ini untuk menghalang anemia, tetapi apabila fungsi buah pinggang menjadi rendah hormon ini adalah tidak mencukupi untuk mengekalkan tahap optimum untuk sel-sel darah merah.

Beberapa versi sintetik hormon ini (dipanggil erythropoietin) digunakan sebagai ubat yang boleh diberikan ke dalam kulit atau terus ke aliran darah dan boleh merawat anemia akibat penyakit buah pinggang. Beberapa rawatan versi erythropoietin yang berbeza boleh didapati dalam sebahagian dunia - rawatan ini secara amnya berbeza dengan berapa kerap mereka perlu diberikan untuk mempunyai kesan. Versi ubat yang tertua (epoetin) perlu diberi beberapa kali setiap minggu, sedangkan ubat baru (darbepoetin dan CERA) boleh diberi lebih kurang kerap.

Malangnya, apabila dos tinggi rawatan anemia digunakan untuk mencapai tahap hemoglobin yang tinggi, mereka boleh meningkatkan risiko komplikasi seperti serangan jantung atau angin ahmar. Disebabkan risiko ini, orang dinasihatkan untuk menggunakan dos rawatan anemia yang memberikan kelegaan daripada masalah anemia (letih, sesak) tetapi untuk mengelakkan dos yang lebih tinggi yang boleh menyebabkan masalah. Namun, adalah tidak pasti sama ada versi yang berbeza daripada ubat-ubatan anemia mempunyai pelbagai risiko komplikasi.

Apa yang penyelidik lakukan?

Ulasan ini melihat sama ada CERA mempunyai kadar komplikasi dan manfaat yang berbeza daripada membetulkan anemia (menambahbaik kualiti hidup) daripada rawatan anemia yang lain.

Apa yang penyelidik dapati?

Penyelidik mendapati 27 kajian melibatkan lebih 5410 penghidap penyakit buah pinggang yang melihat manfaat dan komplikasi daripada rawatan anemia yang berbeza, membandingkan rawatan anemia baru (CERA) dengan rawatan lebih lama (darbepoetin dan epoetin alfa atau beta). Penyelidik mendapati bahawa ia adalah tidak pasti sama ada ubat anemia mempunyai kesan yang berbeza pada komplikasi penyakit jantung, jangka hayat atau anemia dalam orang yang menerima rawatan untuk meningkatkan kiraan darah mereka. Tiada maklumat mengenai sama ada CERA membawa kepada kualiti kehidupan yang lebih baik bagi orang yang menerima ubat ini.

Kesimpulan

Berdasarkan maklumat dalam ulasan Cochrane ini, keputusan klinikal tentang pilihan ubat-ubatan anemia yang berbeza boleh dibuat berdasarkan kepada kos ubat dan ketersediaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information