Teknik yang terkenal sebagai ‘prosedur pembebasan’ untuk rawatan stenosis vena (CCSVI) dalam otak orang dengan MS

Apakah isunya?
Insufisiensi vena serebrospina kronik (CCSVI) adalah keadaan vaskular yang dicirikan oleh aliran keluar vena yang terbatas dari otak dan saraf tunjang, terutamanya disebabkan oleh penyempitan atau penyumbatan vena-vena di kepala dan leher. CCSVI dihipotesis sebagai faktor penting dalam perkembangan MS dan rawatan CCSVI dengan kateter venografi dan angioplasti translumen perkutaneus (PTA) untuk melebarkan vena mungkin boleh memperbaik gejala dan kualiti hidup orang dengan MS. Terdapat ketidakpastian sama ada PTA patut diguna dalam kalangan orang dengan MS.

Apa yang kami lakukan?
Kami mengulas tiga kajian (238 peserta) yang membandingkan PTA dengan PTA palsu dalam kalangan peserta dengan MS dan CCSVI.

Apa yang kami temui?
Kami mendapati PTA vena tidak memberi manfaat terhadap kehilangan upaya, fungsi fizikal atau kognitif, relaps, atau kualiti hidup. Tiada peristiwa buruk serius akibat venografi atau PTA vena berlaku.

Kesimpulan
PTA vena terbukti selamat tetapi ia tidak berkesan dan tidak boleh disyorkan dalam kalangan pesakit-pesakit dengan MS. Semua kajian yang sedang berlangsung sama ada ditamatkan atau ditarik balik, oleh itu ulasan kemas kini ini adalah muktamad. Tiada kajian klinikal rawak lanjutan diperlukan.

Bukti terkini
Ulasan ini adalah terkini sehingga Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save