Topeng saluran pernafasan larinks berbanding tiub endotrakeal untuk trakeostomi dilatational dalam orang dewasa sakit kritikal

Soalan ulasan

Kami membandingkan kaedah berbeza untuk mengukuhkan saluran pernafasan pesakit supaya pesakit boleh terus diberikan ventilasi semasa pembukaan trakea terkawal dilakukan. Prosedur ini diperlukan untuk orang dewasa yang dimasukkan ke hospital untuk jangka masa yang lama dalam unit penjagaan rapi (ICU) dan terus memerlukan ventilasi artifisial. Penggunaan topeng saluran pernafasan larinks dibandingkan dengan tiub endotrakeal yang sedia ada dari segi keselamatan dan keberkesanan prosedur.

Latar belakang

Orang dewasa yang sakit kritikal kerap memerlukan ventilasi mekanikal untuk membantu mereka bernafas. Pada mulanya, merekan diberikan ventilasi melalui tiub endotrakeal (ETT) yang diletakkan di dalam trakea. Pesakit yang menerima ventilasi jangka panjang mungkin memerlukan trakeostomi dengan tiub pernafasan diletakkan terus ke dalam trakea untuk mengelakkan kecederaan kepada trakea dan larinks oleh ETT. Pembukaan pada leher dan trakea (trakeostoma) dilakukan dan satu tiub trakeostomi kemudian dimasukkan ke dalam pembukaan tersebut untuk memberikan ventilasi kepada pesakit. Prosedur ini dikenali sebagai trakeostomi pelebaran perkutaneus (PDT) dan merupakan salah satu daripada prosedur tepi katil intervensi yang paling kerap dilakukan di dalam ICU. PDT menggunakan kanula untuk menusuk melalui kulit untuk sampai ke trakea, diikuti dengan pelebaran (dilatasi) akses ini untuk meletakkan tuib trakeostomi di dalam trakea.

PDT memasuki peringkat kritikal apabila kanula trakeal dimasukkan dan cara pernafasan sebelumnya, melalui ETT, dilonggarkan dalam trakea dan kemudian dikeluarkan. Beberapa komplikasi boleh berlaku pada tahap ini.

ETT boleh rosak dan pesakit tidak dapat menerima oksigen yang mencukupi kandungan dari perut boleh memasuki paru-paru menyebabkan jangkitan paru-paru serius, esofagus mungkin tercedera, dan udara boleh masuk ke dalam ruang antara paru-paru dan dinding dada, atau tisu di dada boleh meradang.

Topeng saluran pernafasan larinks (LMA) kerap digunakan untuk anestesia am dan juga boleh digunakan waktu PDT. Ia diletakkan di dalam tekak dan tidak perlu dikeluarkan sewaktu PDT, namun pengedapan LMA adalah tidak seefektif yang terdapat pada ETT.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2018. Kami memasukkan sembilan kajian terkawal rawak (517 peserta). Kajian-kajian melibatkan antara 40 sehingga 73 orang peserta.

Keputusan-keputusan utama

Walaupun penggunaan prosedur LMA mampu mengurangkan jangka masa di mana saluran pernafasan tidak dikekalkan, prosedur tersebut berkemungkinan besar perlu ditukar.

Hanya satu kajian kecil dengan 40 peserta melaporkan bilangan pesakit yang meninggal dunia daripada sebarang sebab semasa mereka tinggal di hospital, tanpa sebarang perbezaan antara kumpulan rawatan. Tiada kematian yang disebabkan oleh prosedur itu sendiri dalam lima kajian (281 peserta) yang melaporkan hasil ini. Lapan kajian melaporkan bahawa bilangan peserta dengan satu atau lebih banyak peristiwa sampingan serius, menunjukkan tiada bukti jelas mengenai suatu manfaat untuk Topeng saluran pernafasan larinks atau tiub endotrakeal (467 peserta). Kejadian serius yang berlaku adalah irama denyutan jantung yang tidak teratur, konsentrasi oksigen darah yang rendah, peralihan tidak sengeja ETT atau LMA, kerosakan bahagian ETT, perdarahan kecil dan refluks makanan yang ditelan ke dalam saluran pernafasan. Daripada kedua-kedua kaedah, tiada yang lebih bagus dari segi pengelakan sebarang peristiwa sampingan.

Tempoh prosedur dengan jelas lebih pendek dalam kumpulan topeng larinks, dengan perbezaan lebih daripada satu minit (6 kajian, 324 peserta). Manfaat ini dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi rdaripada memerlukan perubahan kepada prosedur yang berbeza (8 kajian, 434 peserta). Komplikasi jangka panjang tidak disiasat dengan mencukupi.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah atau rendah sebab kami tidak dapat memperoleh maklumat penting mengenai kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian-kajian tersebut. Kami mempunyai kebimbangan serius tentang limitasi kajian, bilangan kecil peserta dalam kajian dan variasi dalam penemuan di dalam dan antara kajian (ketidaktepatan). Kebanyakan kajian terhad dalam pelaporan hasil yang berkaitan dengan pesakit. Kajian pertama diterbitkan pada tahun 2002 dan teknik telah ditambahbaik sejak waktu itu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save