Rawatan photopheresis extracorporeal (ECP) untuk penyakit graft-versus-host kronik selepas pemindahan sel stem hematopoietik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Latar belakang

Penyakit graft-versus-host kronik (cGvHD) ialah komplikasi biasa selepas pemindahan sel stem haematopoietik (HSCT; pemindahan sel stem pembentuk darah). Sel imun (sel darah putih) daripada penderma mengenali sel penerima sebagai asing ('bukan diri'). Oleh itu, sel imun yang dipindahkan menyerang sel penerima. Antara organ yang terjejas antara lain terutamanya adalah kulit, hati dan usus. Tindak balas imun ini boleh menyebabkan keradangan akut (bengkak secara tiba-tiba) diikuti oleh perubahan kronik (jangka panjang) pada organ (contohnya fibrosis; parut pada paru-paru). Terapi barisan pertama biasanya terdiri daripada ubat imunosupresif (yang mengurangkan kekuatan sistem imun badan) dalam bentuk kortikosteroid dalam kombinasi dengan agen imunosupresif lain dalam kes refraktori (di mana penyakit ini rintang terhadap rawatan). Ubat-ubatan ini sepatutnya menyekat serangan imun-pengantara terhadap sel pesakit. Keberkesanan yang terhad dan kesan sampingan yang teruk bagi ubat-ubatan ini telah membawa kepada beberapa pendekatan alternatif.

Photopheresis extracorporea (ECP) ialah terapi imunomodulator (rawatan yang membuat perubahan pada fungsi imun) yang melibatkan pengumpulan sel imun daripada darah periferi di luar badan pesakit. Sel-sel imun ini terdedah kepada agen fotoaktif (bahan kimia yang bertindak balas kepada pendedahan kepada cahaya; contohnya 8-methoxypsoralen) dengan disusulkan dengan sinaran ultraungu-A dan kemudiannya dimasukkan semula. Pengulas tidak pasti bagaimana ianya memberi kesan kepada fungsi imun. Beberapa saranan amalan klinikal semasa mencadangkan pertimbangan ECP pada kanak-kanak dan remaja dengan cGvHD.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari pangkalan data saintifik untuk ujian terkawal rawak (RCT) (kajian klinikal dengan peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang direka bentuk untuk menilai keberkesanan dan keselamatan ECP untuk pengurusan penyakit graft-versus-host kronik pada kanak-kanak dan remaja (kurang daripada 18 tahun) selepas HSCT.

Keputusan

Pengulas tidak menemui sebarang RCT yang menganalisis keberkesanan ECP untuk kanak-kanak dan remaja dengan cGvHD selepas HSCT. Cadangan semasa hanya berdasarkan kajian retrospektif (yang hasil berlaku kepada peserta sebelum kajian bermula) atau kajian pemerhatian (yang penyiasat tidak campur tangan, dan hanya memerhatikan peristiwa). Sebaik-baiknya, ECP hanya boleh diberikan kepada kanak-kanak dan remaja dalam konteks RCT. ECP boleh dipertimbangkan untuk orang yang mempunyai cGvHD refraktori steroid, perlu diingat bahawa rawatan sedemikian tidak disokong oleh bukti peringkat tinggi. Jika kanak-kanak dan remaja diberi ECP, doktor harus mengumpul maklumat tentang kesan berfaedah dan berbahaya serta menyediakan senarai pendaftaran untuk orang yang dirawat dengan ECP.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information