Manfaat dan kemudaratan metilfenidat untuk kanak-kanak dan remaja yang mengalami gangguan kekurangan tumpuan dan hiperaktiviti (attention deficit hyperactive disorder, ADHD)

Soalan sorotan

Kami mengulas bukti kesan metilfenidat ke atas tingkahlaku kanak-kanak dan remaja yang mengalami ADHD.

Latar belakang

ADHD adalah salah satu daripada masalah psikiatrik kanak-kanak yang paling biasa didiagnosa dan dirawat. Kanak-kanak yang mengalami ADHD sukar untuk menumpukan perhatian. Mereka sering berkelakuan hiperaktif (gelisah tangan dan kaki, tidak dapat duduk dengan diam untuk jangka masa yang lama) dan impulsif (melakukan perkara tanpa berfikir dahulu). ADHD boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran untuk berjaya di sekolah, kerana mereka mengalami kesukaran untuk mengikuti arahan dan menumpukan perhatian. Masalah kelakuan mereka boleh menggangu keupayaan kanak-kanak tersebut untuk menjalin hubungan baik dengan keluarga dan rakan-rakan, dan mereka sering terlibat dalam lebih banyak masalah berbanding kanak-kanak lain. Methylphenidate adalah ubat yang paling biasa diberi untuk merawat kanak-kanak dan remaja dengan ADHD.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 185 kajian rawak terkawal (RCTs; kajian-kajian di mana para peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), yang melibatkan 12,245 kanak-kanak atau remaja yang telah didiagnosa ADHD. Kebanyakan kajian membandingkan metilfenidat dengan plasebo - sesuatu yang direka untuk berupa and berasa seperti metilfenidat tetapi tanpa bahan aktif. Kebanyakan kajian adalah kecil dan berkualiti rendah. Secara amnya, tempoh rawatan purata adalah 75 hari (julat 1 hingga 425 hari), menjadikannya mustahil untuk menilai kesan jangkamasa panjang metilfenidat. Tujuh puluh dua daripada 185 kajian yang dimasukkan (40%) telah dibiayai oleh industri.

Bukti ini adalah terkini sehingga Februari 2015.

Keputusan utama

Penemuan mencadangkan bahawa metilfenidat mungkin memperbaiki beberapa gejala asas ADHD – mengurangkan hiperaktiviti dan impulsiviti, dan membantu kanak-kanak menumpu perhatian. Metilfenidat mungkin membantu memperbaiki tingkahlaku secara am dan kualiti hidup kanak-kanak dengan ADHD. Namun, kami tidak yakin bahawa keputusan ini menggambarkan saiz manfaat metilfenidat dengan tepat.

Bukti daripada ulasan RCTs ini mencadangkan bahawa metilfenidat tidak meningkatkan risiko kesan buruk yang serius (mengancam nyawa) apabila digunakan untuk tempoh sehingga enam bulan. Namun, pengambilan metilfenidat dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan buruk tidak serius seperti masalah tidur dan kurang selera makan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil kajian.Orang-orang yang terlibat dalam kajian mungkin tahu apa rawatan yang diterima kanak-kanak, laporan keputusan adalah tidak lengkap dalam banyak kajian dan untuk sesetengah hasil kajian terdapat variasi keputusan.Pertimbangan-pertimbangan ini telah menghadkan keyakinan kami dalam keputusan keseluruhan ulasan ini.

Kesimpulan

Untuk masa kini, berdasarkan kualiti bukti yang sedia ada, kami tidak dapat menyatakan dengan pasti sama ada pengambilan metilfenidat dapat memperbaiki kehidupan kanak-kanak dan remaja dengan ADHD. Metilfenidat dikaitkan dengan beberapa kesan buruk yang tidak serius seperti masalah tidur dan kurang selera makan. Walaupun tidak menemui bukti untuk peningkatan risiko kesan buruk yang serius, kami memerlukan kajian-kajian yang mempunyai tempoh susulan yang lebih panjang untuk menilai dengan lebih baik risiko ini dalam orang-orang yang mengambil metilfenidat untuk jangkamasa panjang.

Oleh kerana methylphenidate dikaitkan dengan kesan buruk, reka bentuk kajian yang berkualiti tinggi adalah mencabar. Para doktor, ahli kajian dan peserta kajian senang untuk meneka sama ada kanak-kanak tersebut berada dalam kumpulan eksperimen (menerima methylphenidate) atau dalam kumpulan kawalan (menerima plasebo). Ini adalah satu risiko serong yang serius yang boleh menyebabkan kita kurang yakin dalam keputusan sesuatu kajian. Salah satu cara untuk mengelakkan ini ialah dengan mereka bentuk kajian yang membandingkan methlyphenidate dengan plasebo yang boleh menyebabkan kesan buruk yang sama, tetapi tanpa bahan aktif. Kajian-kajian ini dikenali sebagai 'kajian nocebo'. Atas sebab-sebab etikal, kajian nocebo patut dijalankan dengan orang dewasa dahulu. Sekiranya keputusan mencadangkan bahawa methylphenidate berkesan untuk orang dewasa, ahli kajian bolehlah mempertimbangkan pengambilan kanak-kanak ke dalam kajian yang menggunakan reka bentuk ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan May Loong (Penang Medical College).Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai penterjemahan ini sila hubungi mltan@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save