Tacrolimus topikal untuk dermatitis atopik

Latar belakang

Dermatitis atopik (AD) (atau ekzema atopik) adalah keadaan kulit kronik yang mempengaruhi kualiti hidup orang dewasa dan kanak-kanak. Kortikosteroid topikal (TCS) adalah salap utama yang diguna untuk rawatan, tetapi terdapat risiko kesan sampingan dengan penggunaannya, seperti penipisan kulit. Satu kelas ubat-ubatan yang disebut perencat calcineurin topikal, yang termasuk tacrolimus topikal (dan pimecrolimus), mungkin memberi alternatif kepada masalah ini, tetapi kerana tacrolimus adalah salap baharu berbanding kortikosteroid, masih terdapat beberapa soalan mengenai keberkesanan dan keselamatannya.

Soalan ulasan

Adakah salap tacrolimus merupakan alternatif yang berkesan dan selamat berbanding rawatan lain untuk dermatitis atopik sederhana hingga teruk (dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa)?

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 20 kajian, dengan 5885 peserta, dalam ulasan ini. Kami telah mencari kajian-kajian sehingga Jun 2015. Kami berminat untuk melihat penilaian penambahbaikan oleh doktor, penilaian kendiri peserta, dan sebarang kesan buruk. Hasil lain termasuk langkah-langkah penambahbaikan objektif, seperti SCORAD (SCORing Atopic Dermatitis, alat untuk mengukur keparahan dermatitis atopik) dan kawasan permukaan badan yang terjejas.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati tacrolimus 0.1% lebih baik daripada kekuatan TCS rendah di kawasan muka dan leher dan kekuatan TCS sederhana pada trunkus dan kaki dan tangan. Kami menilai pentaksiran doktor bagi pimecrolimus 1% dan tacrolimus 0.03% dalam kebanyakan kajian. Apabila membandingkan kekuatan kortikosteroid sederhana hingga kuat, terdapat manfaat kecil yang menyokong tacrolimus 0.1% oleh penilaian kendiri peserta dan SCORAD.

Gabungan hasil 2 kajian menunjukkan tacrolimus 0.03% lebih dua kali ganda berpeluang mencapai penambahbaikan oleh penilaian doktor berbanding dengan kekuatan TCS yang ringan. Satu lagi kajian mendapati tacrolimus 0.03% lebih baik daripada pimecrolimus 1% untuk hasil yang sama, sementara tiada perbezaan ditemui di kawasan permukaan kulit yang terjejas dengan penyakit. Untuk perbandingan kekuatan kortikosteroid sederhana dan kuat, kami mendapati tiada perbezaan ketara dalam kebanyakan keputusan, tetapi di dalam dua kajian, kami mendapati sedikit perbezaan yang menyokong kumpulan kortikosteroid.

Kemerahan dan gatal-gatal lebih kerap berlaku dalam kalangan pengguna tacrolimus berbanding TCS, tetapi kami dapati tiada perbezaan dalam jangkitan kulit. Gejala-gejala adalah ringan dan sementara. Perbandingan pimecrolimus dan tacrolimus menunjukkan kekerapan keseluruhan kesan sampingan yang sama, dengan kesan sampingan setempat lebih kerap dalam kumpulan tacrolimus. Tacrolimus juga menunjukkan tempoh gejala setempat lebih panjang, antara 30 minit dan 12 jam, manakala pengguna pimecrolimus mengalami gejala kurang dari 30 minit.

Kesan buruk serius jarang terjadi, berlaku dalam kedua-dua kumpulan tacrolimus dan TCS, dan dianggap tidak berkait dengan rawatan dalam kebanyakan keadaan. Tiada kes limfoma (sejenis kanser nodus limfa) yang dicatat dalam kajian-kajian yang dimasukkan atau dalam kajian-kajian tidak berbanding. Kes-kes hanya dicatat secara retrospektif dalam kajian dan laporan-laporan, tanpa sebarang kaitan dengan ubat.

Penyerapan sistemik (bahan yang memasuki aliran darah) jarang dikesan, hanya dalam tahap yang rendah dan berkurangan dengan masa. Hanya dalam penyakit-penyakit dengan masalah halangan kulit yang teruk, seperti sindrom Netherton, ichthyosis lamela (gangguan genetik yang jarang berlaku), dan beberapa yang lain, terdapat laporan kes penyerapan sistemik.

Selepas menilai kajian klinikal, laporan kes, kajian manusia dan haiwan, kami mendapati kekurangan bukti yang mengaitkan penggunaan topikal tacrolimus dengan penipisan kulit.

Ringkasnya, salap tacrolimus kelihatan selamat dan berkesan untuk dermatitis atopik sederhana dan teruk dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Ia harus digunakan dengan hati-hati, walaupun, dalam kalangan mereka yang mempunyai penyakit dengan kerosakan teruk halangan kulit. Kami mendapati tiada risiko penipisan kulit dengan penggunaannya, walaupun untuk tempoh yang lebih lama. Kami tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan risiko malignan dengan penggunaan tacrolimus topikal. Kami tidak menilai kos dalam ulasan ini.

Kualiti bukti

Variasi dos ubat, keputusan, dan tempoh susulan menyukarkan penggabungan keputusan-keputusan. Kekurangan data mengehadkan kebolehpercayaan dan kekuatan bukti; oleh itu, penemuan-penemuan ulasan ini perlu ditafsir dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information