Adakah 5-ASA mencegah perulangan divertikulitis?

Latar belakang

Divertikuum ialah kantung kecil yang membonjol yang boleh terbentuk di lapisan sistem pencernaan, terutamanya di usus besar. Divertikulitis adalah peradangan kantung ini, dan ia adalah komplikasi yang penting bagi penyakit divertikulum. Kira-kira sepertiga hingga seperempat daripada pesakit yang pulih dari satu episod divertikulitis akan mengalami perulangan. Peradangan yang mendasari divertikulitis mungkin serupa dengan apa yang dilihat pada penyakit keradangan usus. Asid 5-aminosalisilik (5-ASA) ialah ubat anti-peradangan yang terbukti berkesan sebagai rawatan untuk kolitis ulseratif dan oleh itu mungkin berguna untuk mencegah divertikulitis berulang

Objektif

Pengulas ingin menilai sama ada 5-ASA mencegah perulangan divertikulitis.

Ciri-ciri kajian

Tinjauan literatur mengenal pasti tujuh kajian dengan sejumlah 1805 peserta untuk dianalisis. Carian literatur dijalankan pada 9 September 2017. Kajian-kajian ini memperuntukkan peserta dengan diagnosis divertikulitis untuk menerima 5-ASA atau terapi alternatif. Empat kajian membandingkan 5-ASAdengan plasebo; satu kajian membandingkan 5-ASA beserta probiotik dengan probiotik; satu kajian membandingkan 5-ASA beserta antibiotik dengan antibiotik; dan satu kajian membandingkan 5-ASA dengan kumpulan tanpa terapi. Peserta diikuti untuk membandingkan kadar perulangan divertikulitis dan kesan-kesan sampingan di antara kumpulan rawatan.

Penemuan utama

Analisis yang dilakukan menunjukkan bahawa kira-kira sepertiga peserta yang menerima 5-ASA mengalami perulangan divertikulitis (31.3%). Peserta yang menerima terapi bukan 5-ASA mengalami kadar perulangan yang serupa (29.8%). Kadar peristiwa buruk adalah serupa di antara terapi 5-ASA dan terapi perbandingan. Kesan-kesan sampingan terapi 5-ASA yang paling kerap dilaporkan adalah simptom gastrousus (sakit epigastrik, loya, dan cirit-birit).

Kualiti bukti

Keseluruhannya, kualiti bukti yang ada untuk analisis perulangan divertikulitis dianggap sangat rendah. Tiada kajian yang disertakan dianggap mempunyai risiko bias yang rendah untuk semua kriteria. Kajian-kajian ini direka secara berbeza. Sebagai contoh, beberapa kajian memerlukan imbasan CT untuk mendiagnosis divertikulitis, dan yang lain bergantung kepada kriteria klinikal dan makmal yang kurang dipercayai. Terapi perbandingan adalah pelbagai, dengan beberapa kajian menggunakan plasebo, dan yang lain menggunakan antibiotik dan probiotik. Walaupun pengulas menggabungkan penemuan kajian-kajian ini dalam analisis mereka, kumpulan perbandingan yang berbeza ini menyebabkan perbandingan langsung bermasalah. Selang keyakinan tidak mengecualikan manfaat yang bermakna atau tiada perbezaan.

Keseluruhannya, kualiti bukti yang ada untuk analisis kesan buruk adalah sederhana. Dua daripada kajian yang disertakan menyediakan data yang tidak boleh diguna.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save