Laparoskopi dalam mengenal pasti tahap merebak kanser ovari

Mengapakah menambahbaik diagnosis kanser ovari adalah penting?
Kanser ovari adalah penyakit yang mempunyai kadar mortaliti (kematian) yang tinggi . Ramai penyakit wanita (75%) hanya dikenal pasti apabila penyakit barah mereka sudah berada di peringkat akhir dan 140,000 wanita meninggal dunia akibat penyakit ini setiap tahun di seluruh dunia. Antara rawatan-rawatannya terdiri daripada pembedahan debulking (pengurangan saiz barah sebanyak mungkin semasa pembedahan yang dipanggil laparotomy - biasanya melalui potongan panjang yang menegak pada abdomen) dan enam kitaran kemoterapi. Susunan kedua-dua rawatan diberikan bergantung kepada tahap penyakit merebak (berapa meluas penyakit merebak) dan kesihatan umum pesakit. Matlamat pembedahan debulking adalah untuk membuang semua barah yang dapat dilihat atau sekurang-kurangnya tidak meninggalkan tumor sisa yang lebih besar daripada diameter 1 cm. Apabila penilaian diagnostik menunjukkan bahawa matlamat pembedahan tidak dapat dicapai, rawatan awal boleh menjadi tiga kitaran kemoterapi untuk mengecutkan barah pada kali pertama, diikuti pembedahan debulking dan kemoterapi selanjutnya untuk menyelesaikan kursus enam kitaran kemoterapi.

Untuk mengenal pasti tahap penyakit merebak, pemeriksaan fizikal, ultrasonografi, tomografi komputasi abdomen (CT scan), dan pengukuran penanda barah serum (darah) dapat dilakukan. Diagnosis yang tidak betul boleh menyebabkan wanita mengalami pembedahan yang tidak berjaya pada kali pertama.

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk menyiasat jika laparoskopi (pembedahan lubang kunci untuk melihat ke dalam rongga abdomen) adalah tepat dalam meramalkan sama ada wanita boleh berjaya dikendalikan untuk membuang semua tumor yang dapat dilihat atau sekurang-kurangnya tidak meninggalkan barah yang lebih besar daripada 1 cm. Kalau begitu, ini boleh membantu untuk mengelakkan pembedahan pada wanita yang akan lebih sesuai dirawat dengan kemoterapi terlebih dahulu.

Apakah hasil utama ulasan ini?
Ulasan ini melibatkan sejumlah 18 kajian yang berkaitan, 11 daripadanya telah ditambah untuk kemas kini, dan melihat kepada 14 kumpulan wanita. Sejumlah 1563 wanita menjalani laparoskopi untuk menilai tahap penyakit merebak dalam abdomen. Dua kajian menyimpulkan bahawa laparoskopi adalah baik untuk mengenal pasti wanita-wanita di mana pembedahan optimum debulking adalah tidak sesuai (dengan sisa barah melebihi 1 cm yang tertinggal selepas pembedahan) (kadar positif palsu yang rendah untuk laparoskopi) dan di semua wanita diagnosis adalah betul. Walau bagaimanapun, selepas keputusan laparoskopi mencadangkan bahawa pembedahan debulking optimum boleh dilaksanakan, sesetengah wanita telah mendapat pembedahan pendahuluan yang suboptimal di mana sisa tumour > 1 cm ditinggalkan). Bagi setiap 100 wanita yang dirujuk untuk pembedahan pendahuluan selepas laparoskopi, antara empat hingga 46 akan dibiarkan dengan sisa ketumbuhan masih boleh dilihat.

Sejauh manakah ketepatan keputusan daripada kajian-kajian di dalam ulasan ini?
Terdapat batasan ulasan ini iaitu hanya dua kajian yang melakukan laparoskopi diagnostik dan kemudiannya cuba membuat laparotomi debulking pada semua wanita. Kajian-kajian lain hanya melakukan laparotomi apabila laparoskopi mencadangkan bahawa pembedahan debulking kepada sisa barah <1 cm dapat dilaksanakan. Diagnosis yang betul pada laparoskopi tidak dapat disahkan apabila sisa barah > 1 cm diramalkan. Ini dipanggil pengesahan berat sebelah.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?
Sesetengah kajian yang digunakan dalam ulasan ini juga termasuk wanita yang menjalani pembedahan debulking selepas kemoterapi atau jika penyakit berulang. Tetapi kebanyakkannya hanya wanita yang dirancang untuk pembedahan pendahuluan debulking dimasukkan dalam kajian. Oleh itu, keputusan yang dibentangkan dalam ulasan ini boleh digunakan untuk semua wanita yang dijadualkan untuk pembedahan pendahuluan debulking.

Apakah implikasi ulasan ini?
Kajian-kajian dalam ulasan ini menunjukkan bahawa laparoskopi boleh mengenal pasti secara mendalam tentang tahap penyakit merebak. Apabila pembedahan dilakukan selepas kerja diagnostik berpiawai, wanita yang mengalami pembedahan yang tidak berjaya telah berkurang dan ini menyebabkan morbiditi juga berkurang. Akan tetapi, masih terdapat wanita yang menjalani laparotomi yang mengakibatkan tumor sisa > 1 cm selepas pembedahan.

Sejauh manakah ulasan ini telah dikemaskinikan?
Penulis ulasan ini mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan dari masa penubuhan pangkalan data sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information