Pelaksanaan garis panduan rawatan dalam penjagaan kesihatan mental

Latar belakang

Dalam beberapa dekad yang lalu, pelbagai terapi dan intervensi untuk kesihatan mental yang disokong oleh bukti daripada penyelidikan telah dibangunkan. Ini termasuk bukti penyelidikan tentang keberkesanan rawatan farmakologi (seperti ubat antipsikotik) dan terapi psikologi (seperti terapi tingkah laku kognitif, terapi keluarga dan psikopendidikan). Walau bagaimanapun, bukti penyelidikan tidak mudah diterjemahkan ke dalam amalan dan kerja harian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Jurang yang besar wujud antara penghasilan bukti penyelidikan (sesuatu yang diketahui) dan penerimaannya dalam penjagaan kesihatan (sesuatu yang dilakukan). Penerimaan yang lebih baik terhadap bukti penyelidikan boleh dicapai dengan meningkatkan kesedaran bahawa bukti sedemikian wujud.

Satu kaedah untuk menggalakkan penerimaan yang lebih baik ialah penggunaan garis panduan rawatan berdasarkan penilaian bukti penyelidikan. Garis panduan rawatan biasanya sekarang digunakan dalam penjagaan kesihatan, termasuk mereka yang menyediakan rawatan untuk skizofrenia. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada garis panduan rawatan mempunyai sebarang kesan positif terhadap prestasi perkhidmatan kesihatan mental, atau sama ada ia meningkatkan hasil untuk pesakit (seperti kualiti hidup yang lebih baik, keadaan mental yang bertambah baik, pekerjaan, dan kurang kemasukan ke hospital).

Carian

Ulasan ini adalah berdasarkan carian, yang dijalankan oleh pakar maklumat Kumpulan Cochrane Skizofrenia, pada Mac 2012 dan dikemas kini pada Ogos 2015.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan enam kajian yang mengkaji keberkesanan strategi pelaksanaan garis panduan dalam meningkatkan perkhidmatan dan hasil penjagaan kesihatan untuk orang yang mengalami penyakit mental berbanding dengan penjagaan biasa yang diberikan.

Keputusan

Walaupun kajian tunggal memberikan bukti awal bahawa pelaksanaan garis panduan rawatan boleh mencapai perubahan kecil dalam amalan kesihatan mental, kebanyakan keputusan tidak menunjukkan sebarang kesan.

Kesimpulan

Dengan bilangan kajian yang begitu kecil, dan dengan semua keputusan utama yang digredkan oleh pengarang ulasan sebagai bukti yang berkualiti sangat rendah, adalah tidak mungkin untuk mencapai kesimpulan yang konkrit dan pasti. Jurang dalam pengetahuan masih wujud tentang strategi pelaksanaan mungkin menambah baik hasil pesakit dan perkhidmatan kesihatan. Ini meninggalkan maklumat yang sedikit untuk orang yang mengalami masalah kesihatan mental, profesional kesihatan dan penggubal dasar. Lebih banyak kajian berskala besar, direka bentuk dan dijalankan dengan baik adalah perlu untuk mengisi jurang pengetahuan ini.

Ringkasan bahasa umum ini the ditulis oleh seorang pengguna, Ben Gray: Pengguna Perkhidmatan dan Pakar Pengguna Perkhidmatan, Rethink Mental Illness.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information