Ubat untuk mengurangkan kontraksi semasa bersalin kerana kontraksi yang terlalu kuat / kerap atau di mana bayi yang belum lahir disyaki lemas

Apakah isunya?

Kontraksi yang sangat kuat atau kerap boleh berlaku dalam mana mana proses bersalin, namun begitu, perkara ini lebih kerap berlaku pada wanita yang diberikan ubat untuk memulakan atau meningkatkan kontraksi. Dalam beberapa kes, kontraksi yang berlebihan boleh menjadi tanda komplikasi seperti plasenta ‘abruptio’/terkoyak atau proses bersalin yang tersekat.. Kontraksi yang berlebihan boleh menyebabkan kekurangan kuantiti oksigen yang sampai kepada bayi yang belum lahir itu.

'Tokolisis' adalah proses dimana wanita diberi ubat untuk mengurangkan kekuatan atau kekerapan kontraksi, ataupun kedua-duanya. Tokolisis mungkin dapat meningkatkan aliran darah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan bayi. Ulasan ini bertujuan untuk menilai kebaikan dan bahaya tokolisis apabila uterus (rahim) mengecut terlalu cepat (lebih dari 5 kontraksi dalam masa 10 minit sebanyak 2 kali berturut-turut) atau ketika bayi menunjukkan tanda-tanda lemas semasa bersalin, seperti yang dikesan melalui pemantauan degupan jantung.

Ulasan Cochrane baru ini menggantikan Ulasan Cochrane sebelumnya dengan nama yang sama.

Mengapakah ini penting?

Bayi yang kekurangan oksigen semasa bersalin boleh mengalami masalah serius, termasuk palsi cerebrum (cerebral palsy), kerosakan organ ataupun kematian. Apabila pemantauan bayi menunjukkan tanda tanda bayi lemas, beberapa langkah boleh diambil untuk meningkatkan kadar oksigen kepada bayi. Ini termasuklah penggunaan ubat tokolitik. Langkah ini mungkin sangat penting terutama di tempat dimana sumber rawatan terhad, di mana proses kelahiran kecemasan atau pembedahan caesarian mungkin tidak dapat dilakukan dengan segera.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti pada Februari 2018 dan menemui lapan kajian terkawal secara rawak (yang melibatkan 734 wanita) yang mengalami kontraksi rahim yang berlebihan, tanda-tanda keresahan pada bayi, ataupun kedua-duanya semasa proses bersalin. Kajian-kajian menguji kumpulan perbandingan yang berbeza, ini bermaksud bahawa analisis kami adalah berdasarkan data dari kajian tunggal yang melibatkan sejumlah kecil wanita. Para wanita ini diatur secara rambang untuk menerima ubat tokolitik β 2 -adrenergic atau pendekatan alternatif (termasuk tanpa tokolitik sementara menunggu pembedahan caesarian, menghentikan ubat-ubatan yang meningkatan kekuatan pengecutan, atau menggunakan ubatan tokolitik yang lain seperti atosiban, magnesium sulfat atau GTN).

Kami menggabungkan data dari dua kajian kecil (57 wanita), membandingkan ubat tokolitik β 2 -adrenergic dengan tanpa ubat tokolitik. Dua bayi meninggal di dalam rahim ibu mereka, kedua-duanya berlaku dalam kumpulan wanita yang tidak menerima tokolitik - satu mempunyai hidrosefalus yang besar (terlalu banyak cecair di dalam dan di sekitar otak) dan yang satu lagi kematian berlaku semasa ibu sedang menunggu pembedahan caesarian. Bilangan bayi dengan kadar jantung janin yang tidak normal mungkin lebih rendah dalam kumpulan wanita yang diberi tokolitik, tetapi kesannya terhadap ukuran kesihatan bayi yang lainnya tidak dapat dipastikan.

Sangat sedikit kesan sampingan yang serius ditemui, tetapi kajiannya terlalu kecil untuk menilai kesan buruk yang jarang berlaku.

Adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang jelas mengenai kebaikan dan mudarat berdasarkan kajian-kajian ini dan kualiti bukti adalah sangat rendah hingga sederhana.

Apakah maksudnya?

Tidak ada bukti yang cukup dari kajian terkawal secara rawak untuk menentukan kesan tokolisis bagi wanita dengan bayi lemas atau kontraksi rahim yang berlebihan, atau untuk mengenal pasti sama ada satu jenis ubat tokolitik lebih selamat atau lebih berkesan berbanding dengan yang lain.

Kepentingan klinikal untuk beberapa peningkatan ukuran kesihatan janin dengan tokolitik adalah tidak jelas. Secara amnya, saiz sampel terlalu kecil untuk mengesan kesan terhadap kesejahteraan ibu atau bayi atau kesan buruk yang serius. Sebilangan besar kajian berasal dari negara berpendapatan tinggi di fasiliti kesihatan dengan akses kepada pembedahan caesar, yang mungkin menghadkan aplikasi hasil ini di tempat dimana fasiliti kesihatan yang ada adalah terhad, atau tdi tempat di mana pembedahan caesarian tidak dapat dilakukan.

Kajian lanjut yang berkualiti tinggi, yang melibatkan jumlah wanita yang banyak, diperlukan. Kajian seperti ini dapat menumpukan pada pengukuran hasil klinikal yang relevan bagi ibu dan bayinya seperti kadar kematian ibu, bayinya, dan keputusan penting bagi tahap kesihatan dan keselamatan yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information