Tambahan zat besi harian untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan wanita yang datang haid

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan zat besi, yang diambil secara oral untuk sekurang-kurangnya lima hari seminggu, pada hasil kesihatan dalam wanita yang datang haid (berbanding dengan tidak memberi zat besi)?

Latarbelakang

Kekurangan zat besi (kekurangan zat besi yang disimpan dalam badan) dan anemia (tahap hemoglobin yang rendah - sel-sel darah merah yang sihat - dalam darah) adalah masalah biasa di seluruh dunia, terutama dalam kalangan wanita. Tahap zat besi yang rendah boleh mengakibatkan anemia (anemia kekurangan zat besi). Dalam kalangan wanita yang tidak hamil, lebih kurang satu pertiga mengalami anemia di seluruh dunia. Masalah ini kelihatan dengan lazim di negara-negara berpendapatan rendah, tetapi kekurangan zat besi serta anemia adalah lebih lazim dalam kalangan wanita dalam semua keadaan. Anemia kekurangan zat besi dianggap menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan wanita, dan tambahan zat besi - dalam bentuk tablet, kapsul, sirap atau titisan yang mengandungi zat besi - adalah intervensi yang biasa digunakan untuk mencegah dan merawat keadaan ini. Kami berusaha untuk mengkaji bukti tentang zat besi, diambil secara oral sekurang-kurangnya lima hari seminggu, untuk meningkatkan hasil kesihatan dalam kalangan wanita yang tidak hamil dan lingkungan usia reproduktif (wanita yang datang haid).

Data carian

Ulasan ini adalah semasa sehingga November 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan kajian yang membandingkan kesan zat besi berbanding tanpa zat besi apabila diberikan sekurang-kurangnya lima hari seminggu untuk wanita yang datang haid. Kami mengenal pasti 67 kajian yang mendaftarkan 8506 wanita yang layak untuk dimasukkan dalam ulasan. Kebanyakan kajian telah berlangsung di antara satu hingga tiga bulan. Bentuk zat besi yang lazim digunakan adalah ferus sulfat (ferrous sulphate).

Keputusan-keputusan utama

Kami menemui bukti bahawa tambahan zat besi mengurangkan prevalens anemia dan kekurangan zat besi, dan meningkatkan tahap hemoglobin dalam darah dan simpanan zat besi. Tambahan zat besi dengan jelasnya meningkatkan risiko kesan sampingan, contohnya sembelit dan sakit abdomen.

Kualiti bukti

Kami menemui bukti yang berkualiti tinggi yang zat besi meningkatkan hemoglobin dan menghasilkan perubahan dalam fungsi usus, tetapi bukti berkualiti sederhana yang zat besi mengurangkan prevalens anemia dan kekurangan zat besi. Bukti kesan zat besi kepada hasil lain, seperti sakit abdomen, adalah berkualiti rendah. Tiada data mengenai kesan zat besi pada kematian dalam populasi ini.

Kajian-kajian yang muktamad diperlukan untuk mengenal pasti sama ada pengambilan zat besi tambahan secara oral untuk sekurang-kurang lima hari seminggu mempunyai kesan ke atas hasil utama yang berkaitan dengan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College).

Tools
Information