Peranti dengan ciri keselamatan untuk mencegah kecederaan pendedahan perkutaneus dalam kalangan kakitangan penjagaan kesihatan

Apakah matlamat ulasan ini?

Pekerja penjagaan kesihatan menggunakan jarum, picagari dan peranti lain untuk mengumpul darah pesakit dan menyuntik ubat dalam bentuk cecair. Kadangkala pekerja penjagaan kesihatan bersentuhan dengan hujung tajam peranti-peranti ini secara tidak sengaja. Hal sedemikian disebut kecederaan "needlestick" (NSI) dan ia boleh mendedahkan pekerja penjagaan kesihatan kepada risiko jangkitan yang serius seperti hepatitis atau virus imunodifisiensi manusia (HIV). Ciri-ciri keselamatan seperti perisai atau jarum boleh retrak boleh membantu mencegah kecederaan tersebut. Kami mencari pelbagai pangkalan data untuk kajian rawak terkawal (RCTs) dan kajian tanpa rawak (NRS) yang menilai ciri-ciri ini.

Mesej utama

Bukti peranti keselamatan yang mencegah NSI adalah berkualiti rendah dan tidak konsisten. Kekurangan kesan membantu yang kukuh dan konsisten mungkin disebabkan oleh bias. Ini tidak bermakna peranti-peranti tersebut tidak berkesan. Risiko pencemaran darah mungkin lebih besar.

Lebih banyak kajian eksperimen yang berkualiti tinggi dengan kumpulan-kumpulan pekerja kesihatan diperlukan untuk membandingkan kesan-kesan dan keberkesanan kos pelbagai jenis peranti keselamatan NSI, terutama di negara-negara di mana kedua-dua NSI dan jangkitan bawaan darah adalah lazim.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memasukkan lapan RCT dan 16 NRS. Kajian-kajian ini menilai keselamatan sistem pengumpulan darah, sistem intravena (IV), sistem suntikan, pelbagai peranti, bekas-bekas tajam dan perundangan. Kami menganggarkan satu hingga lima NSI berlaku dalam setiap 1000 pekerja setiap tahun tanpa intervensi. Risiko bias adalah tinggi dalam 20 daripada 24 kajian.

Apakah keputusan utama ulasan?

Untuk sistem pengumpulan darah yang selamat, satu RCT mendapati bukti berkualiti sangat rendah menunjukkan tiada kesan yang ketara dan satu NRS menghasilkan bukti berkualiti sangat rendah yang menunjukkan penurunan besar dalam NSI. Satu lagi NRS menggunakan perisai topi yang sudah ketinggalan zaman.

Untuk peranti IV yang selamat, terdapat kualiti bukti yang sangat rendah bahawa NSI menurun dalam dua NRS tetapi tidak dalam satu RCT dan satu NRS lain. Walau bagaimanapun, empat kajian RCT lain menghasilkan bukti berkualiti sederhana bahawa peranti yang perlu dipasang meningkatkan jumlah percikan darah. Dalam dua kajian RCT di mana ciri keselamatan dipasang secara automatik menghasilkan bukti berkualiti rendah yang tidak menunjukkan perubahan dalam jumlah percikan darah. Satu lagi kajian RCT mendapati bukti berkualiti rendah menunjukkan penurunan jumlah kebocoran darah dengan peranti ini.

Untuk peranti suntikan yang selamat, terdapat bukti berkualiti sangat rendah bahawa ini mengurangkan kadar NSI dalam satu RCT dan dalam satu NRS. Walau bagaimanapun, NRS lain mendapati bukti berkualiti rendah bahawa tiada perbezaan dalam kadar NSI di antara peranti suntikan selamat yang aktif dan pasif.

Untuk pengenalan beberapa peranti keselamatan sekaligus, terdapat bukti berkualiti sangat rendah terhadap kesan yang tidak konsisten dari tiga NRS. . Satu NRS menunjukkan penurunan dalam kadar NSI tetapi dua kajian lain tidak menunjukkan perbezaan.

Untuk penggunaan bekas keselamatan, terdapat bukti berkualiti sangat rendah terhadap kesan yang tidak konsisten dari tiga NRS. . Satu NRS menunjukkan penurunan dalam NSI tetapi dua kajian yang lain menunjukkan keputusan yang tidak konsisten.

Untuk memperkenalkan perundangan mengenai peranti keselamatan tereka bentuk, terdapat kualiti bukti rendah hingga sederhana yang dihasilkan oleh dua kajian NRS yang menunjukkan pengurangan NSI.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian sehingga 11 November 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save