Intervensi pemakanan untuk pemandiri kanser kanak-kanak

Latar belakang

Pemandiri kanser kanak-kanak berisiko lebih tinggi untuk mendapat kondisi kesihatan yang kronik seperti, osteoporosis, sindrom metabolik (termasuk obesiti dan diabetes jenis II) dan penyakit kardiovaskular. Penyakit-penyakit ini mempunyai potensi untuk dikurangkan atau dicegah dengan intervensi pemakanan yang terancang.

Objektif

Sorotan ini melihat tiga kajian rawak terkawal yang mengkaji kesan intervensi yang direka untuk meningkatkan pengambilan makanan kanak-kanak yang telah menamatkan rawatan kanser.

Ciri-ciri kajian

Ketiga-tiga kajian melibatkan 616 peserta yang telah menamatkan terapi untuk kanser kanak-kanak. Semua peserta adalah kurang daripada 21 tahun pada entri kajian. Intervensi melibatkan promosi tingkah-laku kesihatan sehinggalah ke pengambilan vitamin dan mineral tambahan. Tempoh susulan adalah dari satu bulan hingga ke 36 bulan daripada penilaian awal.

Keputusan-keputusan utama

Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa mereka yang menerima intervensi tingkah laku kesihatan telah mengurangkan pengambilan makanan ringan. Mereka juga meningkatkan pengambilan makanan berasaskan tenusu, serta meningkatkan kalsium tambahan. Intervensi ini tidak menyebabkan penambahbaikan dalam pengambilan diet, komposisi badan, atau ketumpatan mineral tulang.

Kualiti bukti

Sorotan ini tidak menghasilkan bukti yang mencukupi mengenai keberkesanan intervensi pemakanan bagi pemandiri kanser zaman kanak-kanak. Kualiti bukti secara keseluruhan adalah rendah. Lebih banyak kajian yang direka bentuk dengan baik diperlukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save