Kreatin untuk penyakit Parkinson

Penyakit Parkinson adalah salah satu gangguan neurodegeneratif yang paling biasa dan disfungsi mitokondria memainkan peranan penting dalam patogenesisnya. Kreatin telah ditunjukkan dapat membantu meningkatkan fungsi mitokondria dan mungkin, oleh itu, berguna untuk merawat orang yang mempunyai penyakit Parkinson. Penyelidik dari Kolaborasi Cochrane meneliti bukti sama ada Kreatin berkesan dan selamat untuk merawat penghidap penyakit Parkinson, digunakan secara bersendirian atau sebagai rawatan tambahan, sehingga 10 November 2013.

Kami menyertakan dua kajian rawak terkawal dengan sejumlah 194 pesakit yang membandingkan kreatin dengan plasebo untuk penghidap penyakit Parkinson. Kesan kreatin terhadap peningkatan fungsi motor, aktiviti kehidupan seharian atau kualiti hidup selepas rawatan satu atau dua tahun untuk penyakit Parkinson adalah tidak pasti kerana kualiti kajian yang rendah dan bilangan peserta yang kecil yang mereka ambil. Kejadian buruk yang serius yang berlaku dalam kajian tidak dianggap berkaitan dengan kreatin. Walau bagaimanapun, satu kajian melaporkan kadar kesan gastro-usus yang lebih tinggi (termasuk cirit-birit, loya dan sembelit) dengan kreatin.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information