Adakah gam pembedahan menghalang fistula pankreas selepas pembedahan (kebocoran cecair dari pankreas) dan menggalakkan penyembuhan selepas pembedahan?

Mesej utama

- Gam pembedahan mungkin memberi sedikit perbezaan atau tidak pada fistula pankreas selepas pembedahan pada orang yang menjalani pembuangan ekor pankreas.

- Kami tidak tahu sama ada gam pembedahan mempunyai kesan pada fistula pankreas selepas pembedahan pada orang yang menjalani penyingkiran kepala pankreas.

- Kami juga tidak tahu sama ada gam pembedahan mempunyai kesan ke atas kadar kematian pada orang yang menjalani salah satu daripada pembedahan pankreas ini.

Apakah fistula pankreas selepas pembedahan?

Fistula pankreas selepas pembedahan pankreas adalah komplikasi yang mungkin berlaku selepas pembedahan besar untuk barah atau radang pankreas, kelenjar pencernaan yang terletak di bahagian belakang perut atas. Pankreas adalah kelenjar pencernaan yang terletak di belakang abdomen bahagian atas. Fistula berlaku apabila tunggul pankreas atau penyambungan semula antara pankreas dan usus berdekatan tidak sembuh dengan betul, mewujudkan kebocoran jus pankreas dari pankreas ke tisu perut. Ini melambatkan pemulihan dari pembedahan dan sering memerlukan rawatan lebih lanjut untuk memastikan penyembuhan yang lengkap.

Bagaimana ini dicegah?

'Gam' pembedahan - juga dipanggil 'pelekat tisu pembedahan' - adalah produk yang diperoleh daripada darah manusia atau haiwan, dan digunakan untuk menutup luka dan membantu mengawal pendarahan dalam pelbagai pembedahan. Gam pembedahan telah digunakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mencegah fistula pankreas selepas pembedahan selepas pembedahan pankreas. Walau bagaimanapun, keberkesanan dan keselamatannya dalam pembedahan jenis ini masih tidak pasti.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada gam pembedahan berkesan untuk mencegah fistula pankreas selepas pembedahan pankreas dalam mana-mana tetapan penjagaan, berbanding tanpa gam. Kami melihat:

- kadar fistula pankreas selepas pembedahan;
- kadar kematian;
- kadar komplikasi keseluruhan;
- kadar operasi tambahan;
- jika terdapat sebarang kesan berbahaya atau tidak diingini;
- kualiti hidup atau status kesihatan peserta;
- kos hospital;
- tempoh penginapan hospital;

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang membandingkan penggunaan gam pembedahan tanpa gam pada orang yang menjalani pembedahan pankreas. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami mendapati 14 kajian secara keseluruhan, dengan 1989 peserta. Kami membahagikan kajian kepada tiga kumpulan perbandingan, kerana orang dalam kajian ini menjalani tiga jenis pembedahan pankreas yang berbeza, yang memerlukan penggunaan gam pembedahan yang berbeza.

Perbandingan 1 
Kami mendapati 8 kajian dengan 1119 peserta yang menjalani penyingkiran 'ekor' pankreas. Dalam pembedahan ini, gam pembedahan digunakan pada tunggul pankreas. Berbanding tanpa gam, gam pembedahan mungkin memberi sedikit perbezaan atau tidak kepada:

- kadar fistula pankreas selepas pembedahan;
- kadar komplikasi keseluruhan;

Gam pembedahan boleh mengurangkan kadar pembedahan tambahan sedikit berbanding tanpa gam. Tiada kesan berbahaya atau tidak diingini yang berkaitan dengan penggunaan gam pembedahan dalam kajian ini. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada penggunaannya mempunyai kesan ke atas:

- kadar kematian;
- tempoh penginapan hospital;

8 kajian ini tidak melaporkan kualiti hidup/status kesihatan berkaitan kesihatan peserta dan kos hospital.

Perbandingan 2
Kami mendapati 5 kajian dengan 519 peserta yang menjalani penyingkiran 'ekor' pankreas. Dalam pembedahan ini, pakar bedah membuat sambungan antara tunggul pankreas dan usus kecil, dan gam pembedahan digunakan untuk mengukuhkan sambungan ini. Kami tidak tahu sama ada gam pembedahan mempunyai kesan ke atas:

- kadar fistula pankreas selepas pembedahan;
- kadar kematian;
- kadar operasi tambahan;
- kos hospital.

Berbanding tanpa gam, gam pembedahan mungkin memberi sedikit perbezaan atau tidak kepada:

- kadar komplikasi keseluruhan;
- tempoh penginapan hospital;

Tiada kesan berbahaya atau tidak diingini yang berkaitan dengan penggunaan gam pembedahan dalam perbandingan ini. Kajian ini tidak melaporkan kualiti hidup/status kesihatan berkaitan kesihatan peserta.

Perbandingan 3
Kami menemui dua kajian dengan 351 peserta yang menjalani penyingkiran 'kepala' pankreas, di mana gam pembedahan digunakan untuk menutup saluran pankreas utama. Kami tidak tahu sama ada penggunaan gam pembedahan mempunyai kesan ke atas:

- kadar kematian;
- kadar komplikasi keseluruhan;
- kadar pembedahan tambahan.

Berbanding tanpa gam, gam pembedahan boleh meningkatkan kesan yang tidak diingini (diabetes mellitus) untuk pesakit ini. Ia mungkin membuat sedikit atau tiada beza kepada jumlah tempoh penginapan hospital.

Kedua-dua kajian ini tidak melaporkan kadar fistula pankreas selepas pembedahan, kos hospital, dan kualiti hidup/status kesihatan yang berkaitan dengan kesihatan peserta.

Apakah batasan bukti tersebut ?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana ada kemungkinan orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan maklumat tentang semua yang diminati. Sesetengah kajian tidak melaporkan dengan jelas cara ia dijalankan, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusan hasil kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan UiTM). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information