Teknik pernafasan saliran autogenik untuk membantu orang dengan fibrosis sista membersihkan lendir dari saluran udara mereka

Latar belakang

Fibrosis sista mempengaruhi paru-paru dengan menghasilkan lendir tebal pada lapisan saluran udara. Ini boleh mengakibatkn jangkitan dan keradangan yang menyebabkan kerosakan paru-paru. Fisioterapi boleh membantu menjaga kebersihan saluran pernafasan daripada lendir dan terdapat banyak kaedah yang diguna untuk tujuan ini, termasuk teknik pernafasan, teknik manual dan peranti mekanikal. Saliran autogenik adalah teknik pernafasan yang sangat terkawal yang menggunakan kedalaman hembusan yang berbeza dan kelajuan hembusan nafas untuk memindahkan lendir keluar dari saluran pernafasan yang mengakibatkan batuk spontan atau voluntari. Ia boleh digunakan tanpa bantuan, tetapi memerlukan latihan, tumpuan dan usaha. Kami melihat kesan menggunakan saliran autogenik ke atas ukuran fungsi paru-paru dan kualiti hidup dalam kalangan orang dengan fibrosis sista, untuk mengetahui sama ada menggunakan saliran autogenik adalah lebih baik atau lebih teruk daripada teknik fisioterapi sedia ada yang lain untuk membersihkan paru-paru.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 25 September 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kesusasteraan untuk kajian yang membandingkan sekurang-kurangnya dua sesi saliran autogenik dengan teknik pernafasan dan peranti lain yang membantu membersihkan paru-paru daripada lendir. Kami memasukkan tujuh kajian dalam ulasan yang melibatkan 208 orang dengan fibrosis sista, berumur di antara tujuh hingga 63 tahun.Orang-orang dipilih untuk satu rawatan fisioterapi atau yang lain secara rawak. Bilangan orang dalam kajian adalah dari 17 hingga 75, dan mempunyai pelbagai tahap keterukan penyakit. Kajian-kajian berlangsung dari jumlah empat hari hingga dua tahun.

Keputusan utama

Kami tidak menemui sebarang bukti jelas bahawa saliran autogenik lebih baik daripada teknik lain untuk fungsi paru-paru atau kualiti hidup sama ada dalam kajian jangka pendek atau jangka panjang. Ini juga benar untuk ukuran hasil-hasil lain seperti kemasukan hospital, rawatan antibiotik tambahan, toleransi senaman dan ketepuan oksigen, tetapi dalam satu kajian saliran autogenik adalah teknik pilihan berbanding penyaliran posturan dan perkusi. Senaman dikenal pasti sebagai pembanding untuk pembersihan saluran udara oleh penulis ulasan ini tetapi tiada kajian yang menggunakannya dengan cara ini, walaupun ia sering diguna sebagai terapi alternatif oleh orang dengan fibrosis sista.

Kualiti bukti

Keseluruhannya, kualiti bukti dari kajian-kajian dinilai rendah atau sangat rendah. Masalah utama adalah bilangan peserta yang kecil dalam setiap kajian, laporan hasil kajian yang tidak jelas dan reka bentuk kajian yang digunakan. Dalam satu kajian, yang diklasifikasi berisiko tinggi kerana keputusan yang tidak lengkap, mereka yang mengambil bahagian perlu mengubah teknik fisioterapi di pertengahan kajian dan ramai yang menarik diri dan tidak mematuhi lengan rawatan penyaliran postural dan perkusi . Lima daripada tujuh kajian tersebut menggunakan kakitangan penyelidik yang tidak tahu teknik mana yang diguna oleh setiap orang untuk menilai keputusan dan ini meningkatkan kualiti bukti dan mengurangkan bias.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save