Merawat malaria tidak rumit dalam kalangan kanak-kanak: adakah formulasi ubat mesra kanak-kanak berfungsi lebih baik daripada formulasi tablet biasa?

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami ingin tahu tentang potensi manfaat dan mudarat formulasi mesra kanak-kanak terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACT) untuk merawat malaria tidak rumit dalam kalangan kanak-kanak. Kami mencari kajian-kajian yang meneliti penggunaan formulasi ACT mesra kanak-kanak berbanding formulasi tablet ACT biasa, untuk merawat malaria tidak rumit dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 14 tahun. Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima kanak-kanak ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan-kesan rawatan. Kami menemui tiga kajian yang relevan tentang dua formulasi mesra kanak-kanak.

Mesej utama

Formulasi ACT mesra kanak-kanak mungkin berfungsi sama baik seperti tablet yang dihancurkan untuk merawat malaria tidak rumit dalam kalangan kanak-kanak, dan mungkin menyebabkan kurang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Malaria adalah penyakit tropik yang disebar oleh nyamuk yang dijangkiti parasit Plasmodium. Jenis malaria yang paling lazim, dan paling serius, adalah disebabkan oleh Plasmodium falciparum. Parasit ini menyebabkan kadar penyakit dan kematian yang tinggi, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di wilayah yang mana malaria tersebar luas.

Malaria boleh menjadi penyakit yang ringan, tetapi kadangkala teruk dan mengancam nyawa jika tidak dirawat segera atau dengan ubat yang betul.

Ubat-ubatan berasaskan artemisinin, sebatian yang berasal dari tumbuhan (Artemisia annua), biasanya diambil melalui mulut (secara oral) untuk merawat malaria dalam kombinasi dengan ubat-ubat lain. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan merawat malaria tidak rumit dengan terapi kombinasi oral berasaskan artemisinin (dipanggil ACT).

Tablet ACT oral sering dihancurkan untuk membantu memudahkan kanak-kanak menelan. Formulasi baru ACT oral telah dikembangkan terutamanya untuk kanak-kanak, seperti sirap, dan butiran, serbuk atau tablet yang boleh dilarutkan dalam air, dan boleh diperisakan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui tiga kajian yang relevan melibatkan 1306 kanak-kanak (berumur 6 bulan hingga 11 tahun) dengan malaria tidak rumit. Kajian-kajian itu dijalankan di sub-Sahara Afrika antara 2006 dan 2015. Semua kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal yang membuat formulasi ACT mesra kanak-kanak.

Kajian-kajian itu membandingkan tablet ACT yang dihancurkan dengan formulasi ACT mesra kanak-kanak: ia adalah tablet artemether-lumefantrine atau dihydroartemisinin-piperaquine yang boleh larut, atau sirap artemether-lumefantrine.

Kami berminat dengan:

- sama ada kanak-kanak kekal sembuh dari malaria selepas 28 hari (diukur dengan ketiadaan parasit Plasmodium dalam darah); dan

- sama ada ubat-ubat itu menyebabkan sebarang kesan tidak diingini.

Tiada kajian yang melihat kepada penerimaan sebarang formulasi ubat oleh kanak-kanak.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara formulasi ACT mesra kanak-kanak (tablet boleh larut atau sirap) dan tablet yang dihancurkan untuk berapa ramai kanak-kanak:

- berjaya dirawat selepas 28 hari; atau

- mengalami kesan-kesan tidak diingini yang serius.

Tablet ACT yang dihancurkan dan formulasi mesra kanak-kanak berjaya merawat kebanyakan kes malaria tidak rumit. Selepas 28 hari kadar kegagalan rawatan adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan. Secara purata, 59 daripada setiap 1000 kanak-kanak yang mengambil tablet ACT yang dihancurkan dan 62 daripada setiap 1000 kanak-kanak yang mengambil tablet yang boleh larut akan masih mengalami jangkitan Plasmodium (2 kajian; 1139 kanak-kanak).

Bilangan kesan-kesan tidak diingini serius dilaporkan serupa untuk tablet yang dihancurkan dan tablet yang boleh larut (2 kajian; 1197 kanak-kanak) atau sirap (1 kajian; 267 kanak-kanak), oleh itu perbezaan dari segi formulasi adalah tidak mungkin.

Tablet yang boleh larut mungkin mengurangkan kesan-kesan tidak diingini ubat, termasuk muntah, berbanding tablet yang dihancurkan. Kanak-kanak yang mengambil tablet yang boleh larut mengalami kurang kesan tidak diingini berkait dengan ubat (139 daripada setiap 1000 kanak-kanak) berbanding mereka yang mengambil tablet yang dihancurkan (178 daripada setiap 1000 kanak-kanak).

Tiada perbezaan dalam bilangan kesan tidak diingini ditemui dalam kajian dengan formulasi sirap berbanding tablet yang dihancurkan.

Keyakinan kami dalam keputusan kami adalah rendah hingga sederhana. Keputusan-keputusan tersebut adalah dari sebilangan kecil kajian. Semua kajian disokong oleh pengilang formulasi mesra kanak-kanak, yang boleh mempengaruhi bagaimana kajian direka, dijalankan, dan dilaporkan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 11 Disember 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information