Perbandingan intervensi pembedahan bagi penanggalan retina

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui bagaimana vitrektomi pars plana (PPV) dibandingkan dengan lengkokan sklera dalam rawatan penanggalan retina. Pengarang-pengarang Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui 10 kajian.

Mesej-mesej utama
Terdapat sedikit ataupun tidak ada perbezaan antara PPV dengan lengkokan sklera dari aspek kejayaan pembedahan dan kadar penglihatan yang berjaya dipulihkan. Mungkin terdapat sedikit pengurangan kejadian penanggalan retina yang berulang dengan PPV. Beberapa kejadian yang tidak diingini, seperti katarak menjadi lebih teruk dan pecahan iatrogenik baru, kelihatan lebih banyak berlaku dalam kumpulan PPV manakala penanggalan koroid adalah lebih banyak berlaku dalam kumpulan lengkokan sklera.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Penanggalan rhegmatogenus retina (RRD) merupakan jenis penanggalan retina yang paling kerap berlaku. Ia merupakan pemisahan retina (tisu saraf sensitif cahaya di belakang mata) daripada lapisan-lapisan lain di dalam mata. Ini berlaku kerana koyakan atau terdapat pisahan dalam retina, yang membawa kepada gel vitreus (bahan jernih yang mengisi pertengahan mata) mengalir keluar ke bawah retina.

PPV merupakan prosedur pembedahan yang melibatkan pengeluaran vitreus dari mata melalui pars plana (sebahagian lapisan tengah mata).

Pembedahan lengkokan sklera memerlukan penggunaan tekanan setempat ke atas retina melalui jahitan bahan (silikon) ke atas bahagian luar mata (sklera), untuk menolaknya ke dalam. PPV melibatkan pembuangan vitreus, kemudian menggunakan laser bagi menutup koyakan, dan suntikan minyak silikon ke dalam ruangan vitreus bagi memberikan tekanan kepada retina. PPV boleh digabungkan dengan pembedahan lengkokan sklera jika diperlukan.

Apakah keputusan utama ulasan?
Pengarang Ulasan Cochrane menemui 10 kajian relevan yang melibatkan 1307 peserta daripada Eropah, India, Iran, Jepun dan Mexico. Semua kajian membandingkan lengkokan sklera dengan PPV sahaja atau PPV gabungan dengan lengkokan sklera untuk rawatan RRD. Semua kajian mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan tempoh susulan. Lima kajian dibiayai oleh sumber bukan komersial, manakala lima kajian lain tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan ulasan menunjukkan bagi pesakit dengan RRD, terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara PPV dan lengkokan sklera dalam aspek kadar kejayaan primer, akuiti visual dan kejayaan akhir anatomikal (bukti berkepastian rendah); PPV dikaitkan dengan kadar ulangan penanggalan retina yang lebih rendah dibandingkan kepada lengkokan sklera (bukti berkepastian rendah); terdapat hanya bukti berkepastian sangat rendah ke atas bilangan pembedahan yang diperlukan dan kualiti kehidupan.

Semua kajian melaporkan kesan-kesan yang tidak diingini (kesan-kesan sampingan). Kejadian atau katarak menjadi lebih teruk lebih kerap berlaku dalam kumpulan PPV, sementara penanggalan koroid lebih kerap berlaku dalam kumpulan lengkokan sklera dan pecahan baru/iatrogenik kelihatan hanya di dalam kumpulan PPV.

Sehingga bila ulasan ini dikemaskini?
Pengarang Ulasan Cochrane telah mencari kajian yang mempunyai penerbitan sehingga 5 Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting ole Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information