Keberkesanan dan keselamatan peranti direka khas untuk menutup tapak tusukan arteri femoral

Latarbelakang

Prosedur endovaskular memerlukan akses ke bahagian dalam arteri. Satu lubang kecil dibuat dalam arteri di pangkal paha, dan kateter dipandu bersama-sama ke lokasi utama. Sebaik sahaja prosedur selesai, lubang di arteri mesti ditutup dan pendarahan dihentikan (haemostasis). Secara tradisi, kaedah utama menutup arteri adalah dengan pemampatan, di mana sehingga 30 minit tekanan manual atau pengapit mekanikal digunakan pada pangkal paha pesakit. Tekanan manual menyakitkan dan memerlukan rehat sehingga lapan jam. Proses menutup arteri boleh menyebabkan komplikasi seperti kerosakan kepada arteri dan pendarahan, bermula dari kecil kepada yang mengancam nyawa. Tekanan yang digunakan pada arteri juga memberi kesan kepada vena yang berhampiran dan boleh menyebabkan pembekuan darah (trombosis vena dalam). Peranti penutupan vaskular (VCD) direka untuk menutup lubang dan menghentikan pendarahan. VCD telah dibangunkan pada tahun 1990-an dalam usaha untuk mengurangkan masa untuk menghentikan pendarahan, untuk membolehkan berjalan lebih awal selepas prosedur dan untuk meningkatkan keselesaan pesakit. Empat jenis utama VCD adalah berdasarkan kepada bahan yang digunakan: palam kolagen, berasaskan jahitan, berasaskan cakera dan klip logam. Tiada kata sepakat telah dicapai mengenai keberkesanan VCD dalam mengurangkan masa prosedur, tempoh penginapan atau masa untuk mobilisasi, dan tidak diketahui sama ada ia memberi manfaat kos bila dibandingkan dengan pemampatan.

Ciri-ciri kajian

Kajian ini mengukur keberkesanan dan keselamatan VCD dengan membandingkan satu sama lain dan dengan pemampatan manual atau mekanikal. Selepas mencari kajian yang relevan, kami mendapati 52 kajian dengan jumlah gabungan sebanyak 19,192 peserta (semasa sehingga April 2015). Kajian-kajian tersebut membandingkan VCD yang berbeza dengan pemampatan manual atau mekanikal dan/atau di antara satu sama lain. Ukuran utama untuk keberkesanan adalah masa untuk hemostasis dan masa untuk mobilisasi. Hasil keselamatan utama termasuk kejadian buruk seperti pendarahan, kerosakan arteri, jangkitan dan pembentukan klot dalam vena yang bersebelahan.

Keputusan utama

Ulasan ini menunjukkan bahawa bagi masa untuk hemostasis dan masa untuk mobilisasi, kajian-kajian terlalu berbeza untuk digabungkan dalam analisis statistik apabila VCD dibandingkan dengan pemampatan. Untuk hasil keselamatan, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa VCD mengurangkan bilangan komplikasi serius pada tapak tusukan, berbanding dengan pemampatan manual atau mekanikal . Tambahan pula, kajian ini menunjukkan tiada perbezaan dalam keberkesanan atau keselamatan di antara satu jenis VCD berbanding yang lain, tetapi beberapa kajian telah membuat perbandingan ini. Kajian yang berkualiti baik diperlukan sebelum kesimpulan yang kukuh yang boleh dirumuskan.

Kualiti bukti

Untuk masa hemostasis dan masa untuk mobilisasi, kajian terlalu berbeza untuk digabungkan dan oleh itu dianggap menyediakan bukti yang berkualiti rendah. Bukti kualiti bagi hasil lain telah dinilai sebagai sederhana untuk ketepatan, ketekalan dan ketepatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my..

Tools
Information