Pembedahan ovari untuk melegakan gejala pada wanita dengan sindrom ovari polisistik

Soalan sorotan

Penyelidik Cochrane mengkaji bukti tentang kesan pembedahan ovari terhadap gejala sindrom ovarium polisistik (PCOS). Kami mendapati 22 kajian yang membandingkannya dengan rawatan pembedahan dan bukan pembedahan, dan variasi teknik pembedahan. Hasil utama yang diukur adalah peningkatan dalam kekerapan haid, dan pengurangan pertumbuhan rambut yang tidak diingini dan jerawat (gejala androgenik). Kami juga melihat kemudaratan daripada rawatan, perubahan berat badan, perubahan tahap testosteron, perubahan dalam metabolik dan kualiti hidup.

Latar belakang

Wanita dengan PCOS boleh mempunyai pelbagai masalah kesihatan, termasuk haid yang tidak kerap dan tidak teratur, pertumbuhan rambut dan jerawat yang tidak diingini , dan kesuburan subnormal. Kebimbangan masalah kesihatan jangka panjang termasuklah peningkatan risiko penyakit jantung, diabetes dan pertumbuhan penyakit prakanser rahim.

Kebanyakan kajian terkini melihat kepada kesan pembedahan ovari dalam meningkatkan kesuburan wanita dengan PCOS. Sorotan penyelidik bertujuan untuk melihat kesan laparoskopi (lubang kunci) pembedahan ovari (LOD) terhadap peningkatan dalam gejala lain pada PCOS.

Tarikh carian

Bukti-bukti adalah terkini sehingga Oktober 2016.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik melibatkan 22 kajian rawak terkawal (RCTs), yang meliputi 2278 wanita. Kajian rawak terkawal adalah sejenis kajian eksperimen perubatan di mana peserta diberikan satu atau rawatan lain yang berbeza secara rawak dalam kajian ini. Para peserta mempunyai PCOS dan dari pelbagai tempat di seluruh dunia.

Sepuluh daripada 22 RCT membandingkan LOD dengan rawatan perubatan. Rawatan ini termasuk metformin, clomiphene, gonadotrophins, letrozole dan rosiglitazone. Sepuluh daripada 22 kajian membandingkan LOD tradisional dengan pelbagai variasi teknik pembedahan. Dua dari 22 RCT melihat penggunaan tenaga yang berbeza atau bilangan lubang gerudi ovari semasa LOD.

Sumber dana kajian

Dua kajian melaporkan sumber dana mereka (Farquhar 2002 - sebahagiannya disokong oleh Yayasan Penyelidikan Perubatan Auckland; Sarouri 2015 - penulis mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor untuk Penyelidikan Guilan University of Medical Sains bagi membiayai projek ini).

Keputusan utama

LOD mungkin lebih baik daripada gonadotrofin dalam mengawal kitaran haid. Walau bagaimanapun, kebanyakan doktor akan mempertimbangkan pilihan lain untuk rawatan barisan pertama. LOD dengan empat atau lima lubang gerudi berbanding dua atau kurang dalam setiap ovari mungkin lebih berkesan bagi mengawal haid pada wanita dengan PCOS.

Tiada bukti yang mencukupi untuk menyatakan sama ada terdapat perbezaan antara LOD dan rawatan perubatan lain atau variasi dalam teknik pembedahan dalam meningkatkan kekerapan haid atau gejala androgenik.

LOD dikaitkan dengan kesan sampingan usus yang kurang berbanding metformin dan clomiphene, tetapi melibatkan pembedahan dan ia bukan rawatan standard untuk gangguan haid atau pertumbuhan rambut yang tidak diingini. Terdapat kurang tisu parut dengan hidrolaparoskopi transvaginal berbanding LOD.

LOD secara keseluruhannya boleh dikatakan mempunyai risiko buruk yang rendah, dan menjadi pilihan dalam pengurusan gejala PCOS.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari berkualiti sangat rendah hingga sederhana. Halangan utama adalah ketidaktepatan yang dikaitkan dengan bilangan kajian yang rendah, ketidakseragaman dan risiko berat sebelah yang berkait dengan ketidakupayaan untuk "membutakan" peserta (menyembunyikan jenis rawatan dari mereka). Terlalu sedikit kajian untuk menilai risiko berat sebelah penerbitan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save