Embolisasi transarterial, dengan atau tanpa kemoterapi, untuk metastasis hati

Soalan ulasan
Bolehkah embolisasi transarterial, dengan (TACE) atau tanpa kemoterapi (TAE) memusnahkan metastasis kanser di hati? Metastasis adalah kawasan barah baru yang merebak ke bahagian tubuh yang lain dari tempat asal kanser.

Kami mencari ujian klinikal secara rawak (kajian di mana peserta diletakkan kepada kumpulan-kumpulan secara kebetulan) yang dinilaikan berdasarkan faedah dan kemudaratan TAE atau TACE, dibandingkan dengan tanpa intervensi atau plasebo, untuk pesakit dengan metastasis hati dari kanser di mana-mana lokasi. Kami berminat dengan risiko kematian, tempoh bertahan, kadar berulang, perkembangan penyakit, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, dan kesan buruk (kesan yang tidak diingini disebabkan oleh intervensi).

Latar belakang
Salah satu kawasan metastasis yang paling biasa adalah hati. Kanser hati utama, dan metastasis dari barah kolorektal adalah barah yang paling biasa menyerang hati. Lebih daripada separuh pesakit yang mengalami metastasis hati meninggal dunia akibat komplikasi.

Metastasis hati dapat dimusnahkan dengan beberapa kaedah. Salah satu kaedah adalah berdasarkan konsep bahawa bekalan darah ke tumor hati (hepatik) berasal terutamanya dari arteri hepatik. Transarterial kemoembolisasi (TACE) arteri hepatik melibatkan suntikan ubat kemoterapi, diikuti oleh agen (partikel kecil) yang menyekat saluran darah. Interaksi ini membawa kepada kematian (nekrosis) tumor hati, sambil tidak menjejaskan tisu hati yang normal. Arteri hepatik juga dapat disekat tanpa kemoterapi, dalam hal ini ia disebut embolisasi transarterial hambar (TAE).

Keputusan carian dan ciri-ciri kajian
Kami mencari bukti terakhir pada 20 Disember 2019. Kami memasukkan satu kajian rawak dari carian sebelumnya. Kajian ini secara rawak meletakkan pesakit dengan metastasis hati kolorektal yang tidak dapat dikeluarkan secara pembedahan, kepada salah satu daripada tiga kumpulan intervensi: TAE (22 peserta), TACE (19 peserta), dan kumpulan kawalan (20 peserta) yang tidak menerima intervensi terapi aktif.

Kempen Penyelidikan Kanser, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan, memberikan geran untuk kajian ini; Pharmacia Ltd. menyediakan sistem penghantaran arteri Port-a-Cath dan mikrosfera kanji yang terdegradasi.

Keputusan-keputusan utama
Peserta kajian telah diikuti selama minimum tujuh bulan.

Kematian pada 44 bulan dari kemasukan ke dalam kajian adalah 86% pada kumpulan TAE, 79% pada kumpulan TACE, dan 95% pada kumpulan kawalan. Median kelangsungan hidup selepas kemasukan ke dalam kajian adalah 7.0 bulan dalam kumpulan TAE, 10.7 bulan dalam kumpulan TACE, dan 7.9 bulan dalam kumpulan kawalan. Median kelangsungan hidup dari diagnosis adalah 8.7 bulan dalam kumpulan TAE, 13.0 bulan dalam kumpulan TACE, dan 9.6 bulan dalam kumpulan kawalan. Pengulangan tempatan dilaporkan dalam 10 peserta, tanpa maklumat lanjut mengenai kumpulan rawatan mereka.

Tidak ada peserta kumpulan kawalan yang melaporkan kesan sampingan; 82% kumpulan TAE mengalami kesakitan jangka pendek, mual, muntah, dan suhu badan yang tinggi, yang menjadi lebih baik dengan rawatan simptomatik, dan ada satu laporan lebam di lokasi tusukan. Penerima TACE melaporkan loya untuk jangka pendek, dengan atau tanpa muntah, selepas sebahagian besar sesi rawatan, dan kesakitan atau ketidakselesaan untuk jangka pendek; terdapat satu jangkitan luka, dan satu kes trombosis urat dalam.

Semua hasil adalah tidak muktamad antara kumpulan. Bukti dari satu kajian klinikal rawak yang kecil menunjukkan bahawa TAE atau TACE tidak memberikan kesan yang bermanfaat atau berbahaya berbanding dengan tanpa intervensi, dalam pesakit dengan metastasis hati, yang diukur dengan kematian. Kami tidak menemui data mengenai hasil lain yang berkaitan.

Kualiti bukti
Kami menilai bukti sebagai berkepastian yang sangat rendah. Kajian yang dikenal pasti adalah kecil, berisiko tinggi terhadap bias, dan dengan hasil yang tidak muktamad.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save