Terapi menurunkan asid urik untuk mencegah atau melambatkan perkembangan penyakit ginjal kronik

Apakah isunya?

Terdapat beberapa bukti yang mencadangkan pesakit dengan paras asid urik yang lebih tinggi dalam darah mungkin lebih berisiko mengalami kerosakan ginjal atau kerosakan ginjal sedia ada menjadi semakin buruk. Kajian ini direka untuk menjawab soalan "jika kita mengurangkan paras asid urik dalam darah dengan rawatan tertentu, adakah akan melindungi pesakit daripada memburukkan kerosakan ginjal atau daripada mendapat kerosakan ginjal?"

Kerosakan ginjal jangka panjang (penyakit ginjal kronik) adalah masalah yang semakin meningkat di seluruh dunia. Dengan kerosakan ginjal yang lebih teruk, terdapat peningkatan risiko penyakit jantung dan kematian, serta peningkatan keperluan rawatan dialisis apabila buah ginjal akhirnya gagal. Terdapat banyak penyelidikan yang dijalankan untuk mengurangkan kedua-dua kejadian kerosakan ginjal dan kerosakan yang semakin teruk. Ini bertujuan untuk mengurangkan kematian, penyakit jantung, dan keperluan rawatan dialisis.

Asid urik, atau urate, adalah produk akhir kerosakan DNA dan ia terjadi dalam semua orang. Peningkatan paras urate berpotensi merosakkan jantung dan saluran darah dan mungkin juga ginjal. Dalam pesakit ginjal, telah diketahui semakin teruk kerosakan ginjal, paras urate dalam darah cenderung untuk meningkat. Terdapat peningkatan kecurigaan kenaikan paras urate dalam pesakit ginjal bukan sekadar akibat kerosakan ginjal tetapi mungkin akan menjadikan keadaan lebih buruk.

Apa yang kami lakukan?

Kami mengumpul semua data hasil dari kajian-kajian pesakit dirawat dengan ubat menurunkan urate lebih dari 3 bulan dan laporan data mengenai kematian, tekanan darah dan fungsi ginjal.

Dua belas kajian yang terdiri daripada 1187 peserta telah dimasukkan dalam ulasan. Tempoh kajian adalah di antara empat bulan hingga dua tahun. Jenis-jenis pesakit yang dimasukkan berbeza di antara kajian termasuk diabetes, kegagalan jantung, dan penyakit ginjal kronik.

Apa yang kami temui?

Kualiti kajian yang dimasukkan sukar untuk dinilai kerana kurangnya maklumat. Oleh itu, kajian-kajian tersebut bukanlah kajian yang berkualiti tinggi.

Kami menemui sedikit bukti bahawa mengurangkan kadar asid urik boleh melambatkan kerosakan ginjal tetapi tiada bukti ia memperbaiki tekanan darah atau sebarang penanda kardiovaskular lain yang disiasat. Bilangan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis untuk kegagalan ginjal sepenuhnya tidak berubah. Dua ukuran kegagalan ginjal (kreatinina serum dan kadar penurasan glomerular) diperbaiki pada enam dan 12 bulan tetapi tidak pada dua tahun. Amaun protein dalam air kencing juga dikurangkan dengan rawatan. Kami mendapati tiada kesan jelas mengenai kematian, tekanan darah, kadar kemasukan ke hospital, atau kesan sampingan rawatan.

Kesimpulan

Terdapat data terhad yang mencadangkan terapi menurunkan urate boleh melambatkan kerosakan ginjal tetapi kesimpulannya adalah sangat tidak pasti. Manfaat tidak dilihat pada setiap titik masa dan kualiti kajian pada umumnya rendah. Kajian yang lebih besar diperlukan untuk mengkaji kesan terapi menurunkan asid urik terhadap progressi CKD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save