Adakah efektif dan selamat ubat yang dinamakan ‘isotretinoin’, diambil sebagai tablet, untuk akne vulgaris?

Soalan ulasan

Adakah efektif dan selamat ubat yang dinamakan ‘isotretinoin’, diambil sebagai tablet, untuk orang dengan jerawat? Kami mengulas bukti tentang kesan isotretinoin ubat trenotoin pelbagai dos berbanding plasebo (ubat yang serupa tetapi rawatan tidak aktif), atau dengan ubat sistemik (ubat oral atau suntikan yang berkesan di seluruh badan), atau terapi topikal (diaplikasikan di luar badan). Peserta yang layak harus didiagnos dengan akne oleh doktor.

Latar belakang

Akne adalah penyakit keradangan yang berterusan yang mempengaruhi 80% remaja. Akne (termasuklah jerawat bintik hitam, ‘whiteheads’, dan jerawat) kebanyakkannya muncul di muka, tetapi boleh juga muncul di dada dan belakang. Masalah kesihatan mental, kemurungan dan pemikiran untuk bunuh diri telah dikaitkan dengan akne. Isotretinoin, satu terapi yang meluas diguna pada masa ini, diperolehi daripada Vitamin A, telah mengubah rawatan akne. Walau bagaimanapun, ia boleh mengakibatkan kesan buruk dan dikaitkan dengan peristiwa psikiatrik yang tidak menentu dan penyakit keradangan usus (IBS).

Ciri-ciri kajian

Kami mencari literatur perubatan sehingga Julai 2017 dan memasukkan 31 kajian, melibatkan 3836 pesakit luar dermatologi seluruh dunia. Terdapat dua kali lebih banyak lelaki dari wanita, berumur di antara 12 hingga 55 tahun. Keterukan akne adalah dari yang ringan hingga teruk, walaupun kebanyakan perserta mempunyai akne yang teruk.

Industri farmaseutikal membiaya 12 kajian yang disertakan.

Kami mendapati kajian-kajian yang membandingkan isotretinoin oral dengan plasebo atau rawatan lain seperti antibiotik. Tambahan pula, pelbagai dos regimen (siri rawatan), atau formulasi isotretinoin oral dinilai, dan isotrenitoin dengan tambahan agen topikal.

Keputusan-keputusan utama

Tiga kajian membandingkan isotretinoin oral dengan antibiotik oral ditambah dengan agen topikal diberi kepada peserta dengan akne sederhana atau teruk selama 20 hingga 24 minggu. Hasilnya diukur sejurus selepas rawatan dihentikan.

Tiada perbezaan antara terapi untuk mengurangkan bilangan lesi radang (kawasan organ atau tisu yang rosak akibat penyakit atau trauma). Semasa penggunaan isotretinoin seorang peserta mengalami Sindrom Stevens-Johnson Syndrome (penyakit serious di mana kulit bertindak balas dengan teruk, kerapkali kerana respon kepada ubat); tiada kesan-kesan sampingan serius dalam kumpulan yang lain. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti akan keputusan ini kerana ianya berdasarkan kepada bukti kualiti yang sangat rendah.

Apabila dinilai oleh doktor, keterukan akne mungkin lebih baik sedikit dengan isotretinoin, namun ia mungkin mengakibatkan kesan-kesan sampingan seperti keradangan bibir, kekeringan kulit, atau loya (bukti kualiti rendah).

Empat belas kajian membandingkan pelbagai dos/siri isotretinoin oral antara 12 hingga 32 minggu. Peserta mempunyai akne yang sederhana atau serius.

Dua kajian, membandingkan tiga dos bebeza isotretinoin pada 20 minggu, mendapati pembaikan yang lebih tinggi (diukur dengan bilangan lesi radang) dengan dos yang lebih tinggi (bukti kualiti rendah). Kajian yang ketiga menunjukkan dos rendah berterusan (harian) dan dos konvensional berterusan (harian) mungkin lebih memperbaiki akne berbanding terapi berselang-seli, diukur pada 24 minggu (bukti kualiti rendah). Dos konvensional isotretinoin mengurangkan bilangan lesi radang lebih daripada dos yang rendah, tetapi ini berdasarkan bukti kualiti rendah, menunjukkan ketidakpastian.

Semasa rawatan (dari 12 hiingga 32 minggu), atau susulan selepas tamat rawatan (sehingga 48 minggu), tiada kesan sampingan serius berlaku di dalam 14 kajian yang menganalisis pelbagai dos isotretinoin (bukti kualiti rendah). Ukuran keterukan akne oleh doktor tidak dinilai dalam perbandingan ini. Kesan sampingan yang kurang serious, termasuk kekeringan kulit, keluruhan rambut, dan gatal, dinilai dalam 13 kajian, tetapi kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan-kumpulan (bukti kualiti rendah hingga sangat rendah, apabila dinilai).

Tiada kajian melaporkan kecacatan kelahiran.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan untuk semua hasil utama adalah rendah, akibat limitasi serious dalam rekabentuk kajian serta data yang terhad. Oleh itu, kajian klinikal yang dikenalpasti tidak menyokong atau mencabar penggunaan isotretinoin oral dalam rawatan akne.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Manisha Coran (RCSI-UCD Malaysian Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information