Ubat-ubatan yang menggalakkan pergerakan perut untuk melegakan ketidakselesaan perut bahagian atas yang tidak mempunyai punca khusus

Latar belakang

Dispepsia fungsian berlaku dalam kalangan orang dengan ketidakselesaan perut bahagian atas yang tidak mempunyai sebab yang jelas dan khusus. Prokinetik boleh membantu orang yang mengalami dispepsia fungsian, dengan mempromosi pergerakan perut.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 43 kajian yang membandingkan prokinetik dengan sama ada plasebo (serbuk yang mempunyai rupa yang sama dengan ubat) atau prokinetik lain untuk rawatan dispepsia fungsian. Kajian-kajian adalah terhad kepada penilaian orang dewasa sahaja yang hadir dengan ketidakselesaan perut bahagian atas tetapi tidak mempunyai sebab tertentu selepas penyiasatan.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada prokinetik mengurangkan gejala-gejala dyspepsia, berbanding dengan tiada rawatan prokinetik. Kami juga tidak pasti prokinetik yang mana paling berkesandalam mengurangkan gejala-gejala dispepsia, memperbaiki skor simptom selepas rawatan, atau memperbaiki perbezaan min skor gejala. Kami tidak pasti sama ada rawatan prokinetik boleh memperbaiki kualiti hidup. Kami tidak pasti sama ada prokinetik (kecuali cisapride) berbeza daripada tiada prokinetik dalam menghasilkan gejala yang tidak menyenangkan. Gejala yang paling tidak menyenangkan dari prokinetik adalah cirit-birit, ketidakselesaan perut dan mual.

Kualiti bukti

Bukti digred sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk membuktikan manfaat prokinetik bagi rawatan orang dengan dispepsia fungsian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save