Risperidone sebagai cara untuk menenangkan orang yang agresif atau gelisah akibat psikosis.

Latar belakang

Orang dengan psikosis mungkin mendengar suara (halusinasi) atau mengalami pemikiran yang tidak normal (delusi), yang boleh menakutkan, tertekan, dan gelisah. Mengalami emosi sedemikian kadangkala boleh mengakibatkan tingkah laku agresif. Ini menimbulkan cabaran dan dilema kepada kakitangan. Para profesional kesihatan mental perlu mendiagnosis dan menyampaikan rawatan terbaik untuk mencegah risiko mudarat kepada kedua-dua pesakit dan/atau orang lain, lebih cepat adalah lebih baik. Risperidone adalah ubat yang diambil melalui mulut, digunakan dengan meluas untuk merawat orang menguruskan gejala-gejala psikosis. Selain bersifat antipsikotik (mencegah psikosis), ia juga dapat menenangkan orang atau membantu mereka tidur.

Matlamat ulasan

Ulasan ini melihat sama ada antipsikotik, risperidone, boleh menjadi rawatan yang cepat dan berkesan untuk orang yang gelisah atau agresif akibat psikosis.

Carian-carian

Pakar Maklumat Skizofrenia Cochrane menjalankan carian daftar khusus untuk kajian rawak yang melihat kesan memberi risperidone sahaja berbanding memberi plasebo (rawatan palsu) atau rawatan lain kepada orang yang agresif atau gelisah akibat psikosis. Tarikh carian terakhir adalah April 2017.

Keputusan

Sembilan kajian, dengan 582 peserta, dimasukkan dalam ulasan tetapi maklumat yang diberi adalah berkualiti rendah dan cenderung memberi maklumat separa relevan kepada tujuan utama ulasan ini, terutamanya kurang maklumat mengenai kesan penenang segera (iaitu dalam satu jam selepas rawatan) dan keperluan untuk trankuilisasi berulang. Data ekonomi juga tidak dilaporkan. Dalam kajian-kajian tersebut, risperidone dibandingkan dengan antipsikotik lain, termasuk haloperidol, olanzapine dan quetiapine. Ulasan ini mendapati risperidone tidaklah lebih baik atau lebih teruk dari haloperidol untuk menenangkan keagresifan dalam masa 24 jam, dan dua minggu selepas rawatan, orang yang menerima risperidone mempunyai skor yang lebih tinggi (lebih teruk) pada skala yang mengukur tahap keagresifan daripada berbanding mereka yang menerima quetiapine. Walau bagaimanapun, kedua-dua keputusan tersebut dinilai berkualiti sangat rendah. Satu kajian kecil mendapati gabungan antipsikotik (risperidone dengan oxcarbazepine) lebih baik daripada risperidone sahaja untuk mengurangkan tahap kegelisahan tetapi data ini dikumpulkan selepas satu minggu dan sekali lagi, bukti ini dinilai sebagai kualiti yang sangat rendah. Tiada perbezaan yang jelas dalam insiden kesan sampingan seperti gangguan pergerakan yang diperhatikan.

Kesimpulan

Para penulis ulasan menyimpulkan bahawa pada masa ini, terdapat bukti yang lemah dan tidak jelas tentang penggunaan risperidone untuk menenangkan orang yang agresif akibat psikosis, dan tiada kesimpulan yang kukuh dapat dibuat. Oleh itu, profesional kesihatan dan orang dengan masalah kesihatan mental dibiarkan tanpa panduan berasaskan bukti yang jelas. Walau bagaimanapun, kualiti kajian yang baik adalah mungkin dan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membantu orang yang meruruskan agresif akibat psikosis untuk memahami ubat yang lebih baik untuk menenangkan keagresifan, yang mempunyai kurang kesan sampingan dan berfungsi dengan cepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save