Magnesium sulfat bagi wanita hamil untuk perlindungan neuro janin.

Bayi yang dilahirkan daripada ibu-ibu yang mengalami komplikasi semasa mengandung seperti kelahiran preterm (kelahiran awal sebelum 37 minggu kehamilan) dan jangkitan intrauterine (jangkitan dalam rahim) mempunyai risiko yang lebih tinggi dari segi gangguan pergerakan yang dipanggil palsi serebrum. Palsi serebrum adalah satu istilah umum yang digunakan untuk menggambarkan penyakit fizikal pergerakan dan postur bukan progresif yang diperolehi semasa kehidupan awal, dan yang terhasil daripada komplikasi perkembangan otak. Ia juga mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan Intelektual, gangguan tingkah laku, kecacatan deria (buta dan pekak), dan sawan.

Satu lagi ulasan Cochrane mendapati bahawa magnesium sulfat yang diberikan kepada ibu-ibu sebelum kelahiran preterm dapat melindungi otak bayi dan dapat meningkatkan hasil jangka panjang kepada kanak-kanak. Ulasan ini bertujuan untuk menilai sama ada magnesium sulfat yang diberikan kepada ibu-ibu sebelum kelahiran jangka (lahir pada 37 minggu kehamilan atau kemudian) dapat melindungi otak bayi dan meningkatkan hasil jangka panjang.

Ulasan ini termasuk satu kajian terkawal rawak yang melibatkan 135 wanita dengan praeklampsia ringan (tekanan darah tinggi dan/atau protein dalam air kencing). Tiada bukti yang mencukupi daripada kajian ini untuk menentukan kesan magnesium sulfat ke atas bayi yang dilahirkan pada masa jangka. Wanita yang menerima magnesium sulfat adalah lebih cenderung dalam merasa hangat dan memerah dalam kajian ini berbanding dengan wanita yang menerima plasebo, tetapi mereka tidak lebih cenderung untuk menghentikan rawatan disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. Kadar pendarahan selepas kelahiran dan kadar kelahiran caesarean adalah sama bagi wanita yang menerima magnesium sulfat dengan mereka yang menerima plasebo.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada magnesium sulfat yang diberikan kepada ibu pada jangka dapat memberi pelindungan kepada otak bayi. Bayi dalam kajian ini harus diikuti dengan satu tempoh yang panjang supaya kita dapat memantau kesan magnesium ke atas perkembangan kanak-kanak.

Kita sedang menunggu maklumat yang lebih lanjut dari enam kajian yang lain supaya mereka boleh dinilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Chanmw (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save