Sokongan telefon untuk wanita semasa kehamilan dan sehingga enam minggu selepas kelahiran

Sokongan telefon mungkin bermanfaat untuk wanita dengan masalah tertentu semasa kehamilan dan dalam enam minggu pertama selepas kelahiran bayi tetapi adalah tidak jelas intervensi yang mana yang mungkin membantu, tidak berkesan, dan mungkin berbahaya.

Komunikasi telefon semakin diterima sebagai bentuk sokongan yang berguna dalam penjagaan kesihatan, dengan banyak intervensi berasaskan telefon pada masa kini digunakan dalam penjagaan bersalin.

Dalam ulasan ini kami melibatkan keputusan dari 27 kajian rawak dengan lebih daripada 12,000 wanita. Kesemua kajian mengkaji sokongan telefon berbanding penjagaan biasa (tiada sokongan telefon tambahan). Dalam dua kajian wanita menerima pesanan teks automatik. Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang membandingkan jenis sokongan telefon yang berbeza (contohnya, pesanan teks berbanding panggilan satu-ke-satu). Semua kecuali satu kajian dijalankan dalam keadaan bersumber tinggi. Kebanyakan kajian mengkaji sokongan diberikan melalui perbualan telefon di antara wanita dan pakar kesihatan namun sebilangan kecil kajian melibatkan sokongan telefon dari rakan sebaya. Sebilangan besar keputusan yang ditulis dalam ulasan ini adalah berdasarkan penemuan dari satu atau dua kajian sahaja. Keseluruhannya, keputusan adalah tidak konsisten dan tidak muktamad. Sokongan telefon mungkin meningkatkan kepuasan keseluruhan wanita terhadap penjagaan mereka semasa kehamilan dan tempoh selepas bersalin; namun keputusan untuk kedua-dua tempoh itu hanya dari dua kajian. Tiada bukti yang konsisten yang mengesahkan bahawa sokongan telefon mengurangkan kegelisahan semasa kehamilan atau selepas kelahiran bayi. Bukti dari dua kajian menunjukkan wanita yang menerima sokongan mempunyai purata skor kemurungan yang lebih rendah dalam tempoh selepas bersalin tetapi tanpa bukti yang jelas bahawa wanita yang disokong adalah kurang cenderung untuk mendapat diagnosis kemurungan. Keputusan dari kajian yang menggalakkan penyusuan melalui sokongan telefon juga tidak konsisten, namun terdapat beberapa bukti bahawa sokongan telefon mungkin meningkatkan tempoh penyusuan. Tiada bukti yang kukuh bahawa wanita yang menerima sokongan telefon adalah kurang cenderung untuk merokok pada waktu akhir kehamilan atau semasa tempoh selepas bersalin.

Bagi hasil untuk bayi, seperti kelahiran pramatang dan berat lahir bayi, keseluruhannya, terdapat sedikit bukti. Apabila terdapat bukti yang tersedia, tiada perbezaan yang jelas di antara kumpulan.

Masih terdapat ketidakpastian mengenai manfaat sokongan telefon dan walaupun terdapat penemuan yang menggalakkan, bukti tidak mencukupi untuk mengesyorkan sokongan telefon rutin untuk wanita yang mendapatkan perkhidmatan bersalin.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information